Pelajar maut jatuh bas sekolah, Puspakom tak kompromi piawaian keselamatan

Puspakom tidak berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.(Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Puspakom hari ini berkata, agensi itu tidak berkompromi dengan piawaian keselamatan kenderaan selepas seorang pelajar maut terjatuh daripada bas sekolah yang sedang bergerak.

Dalam satu kenyataan, agensi itu berkata, bas sekolah dalam insiden di Kelantan itu melalui pemeriksaan berkala pada Mei lepas dan berdasarkan rekod serta gambar pemeriksaan, Puspakom mengikut skop dan piawaian pihak berkuasa dan semua item bas tersebut berada dalam keadaan baik.

Katanya, laporan pemeriksaan bas berkenaan dihantar kepada polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 10 Julai berikutan pemeriksaan bersama oleh polis, JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada 9 Julai, selepas insiden itu.

“Puspakom tidak boleh memberi komen mengenai laporan tersebut secara lebih lanjut kerana ia di bawah siasatan polis.

“Bagaimanapun Puspakom ingin menegaskan Puspakom tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian ditetapkan di bawah Akta Pengakutan Jalan 1987,” menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, Puspakom mengumumkan laporan pemeriksaan ke atas bas sekolah selepas seorang kanak-kanak maut akibat terjatuh ketika memijak lantai jerlus sudah diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ia berkata laporan itu dapat membantu siasatan polis dan pihak berkuasa dengan lebih mendalam.

Terdahulu, seorang murid Tahun 6, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12 dilapor meninggal dunia di tempat kejadian selepas jerlus dari lantai bas sekolah.

Kosmo melaporkan ketika kejadian, Wan Muhammed dari Sekolah Kebangsaan Tok Bak, di Machang, Kelantan itu dalam perjalanan ke bengkel menjawab soalan bahasa Inggeris di Besut, Terengganu.