Pemandu teksi tak akan puas hati sampai bila-bila, kata Loke

Loke Siew Fook dan Shamsubahrin Ismail saling berbalas kenyataan berhubung pelanjutan lesen PSV kepada pemandu e-hailing.

PUTRAJAYA: Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd memang tidak akan puas hati sampai bila-bila, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Loke berkata demikian berhubung rasa tidak puas hati Penasihat Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail
setelah Kabinet melanjutkan tarikh akhir untuk semua pemandu perkhidmatan e-hailing mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

“Big Blue Taxi itu saya tahu siapa dia. (Dia) pun dapat 10,000 kuota.

“Yang buat aduan pun gunakan aplikasi e-hailing,” katanya dalam sidang media di kementerian itu, hari ini.

Sebelum itu, Shamsubahrin mengugut pemandu teksi dari seluruh negara akan mengadakan bantahan di Kementerian Pengangkutan minggu ini selepas Kabinet melanjutkan tarikh akhir untuk semua pemandu perkhidmatan e-hailing mendapatkan lesen PSV.

Beliau menyifatkan alasan diberikan Loke untuk memberi lanjutan tempoh itu sebagai tidak bijak dan menyebabkan pemandu teksi marah.

Terdahulu, Loke mengumumkan Kabinet membenarkan pemandu e-hailing yang belum memiliki lesen PSV untuk meneruskan operasi mereka sehingga 12 Oktober ini.

Katanya, pemandu yang tidak mempunyai lesen PSV akan diberikan nasihat, pendidikan dan amaran untuk memenuhi peraturan baru bagi perkhidmatan e-hailing.

Sementara itu, dalam respon kenyataan Loke, Shamsubahrin berkata mengakui ada menerima kuota sebanyak 10,000 tetapi menegaskan hanya untuk teksi bukan kereta persendirian.

Beliau menyelar sindiran Loke dan berkata tidak perlu kaitkan dengan Big Blue Taxi.

“Kalau tak boleh tunai janji laksanakan PSV itu jangan nak kenakan Big Blue.

“Jangan pusing, saya pun kenal Loke,” katanya kepada FMT.