Pendakwa buat rayuan balas hukuman Wan Ji sebelum PRU14, kata peguam negara

Tommy Thomas berkata, Jabatan Peguam Negara sedang meneliti pilihan yang ada berkaitan rayuan Wan Ji Wan Hussin, tetapi ‘ruang lingkup budi bicaranya sangat terhad’ disebabkan sabitan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

PETALING JAYA: Peguam Negara, Tommy Thomas berkata pihak pendakwaan membuat rayuan balas sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu bagi hukuman ke atas pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang disabitkan bersalah kerana menghina Sultan Selangor 7 tahun lalu.

“Tiada representasi bertulis dikemukakan tertuduh mahupun peguam belanya kepada saya, dan saya secara peribadi tidak sedar tentang kes ini sehingga Mahkamah Tinggi membuat keputusan pada 9 Julai 2019 dan diketahui umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat ratusan kes jenayah dan sivil berlangsung dalam mahkamah di seluruh negara setiap hari.

“Oleh yang demikian, adalah mustahil untuk mana-mana orang mengetahui secara peribadi walaupun sebahagian kecil kes-kes tersebut. Maka, pengagihan dan desentralisasi kuasa adalah penting.”

Bagaimanapun, Thomas berkata, Jabatan Peguam Negara sedang meneliti pilihan yang ada berkaitan rayuan Wan Ji, tetapi “ruang lingkup budi bicara kamar saya sangat terhad” disebabkan sabitan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan permohonan Wan Ji untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun.

Pada 9 April 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 9 bulan ke atas Wan Ji kerana memuat naik perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama di Facebook pada 5 November 2012.

Dia kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan itu dan pihak pendakwaan pula memfailkan rayuan balas terhadap hukuman itu.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan bersalah itu, tetapi membenarkan rayuan balas terhadap hukuman itu menyebabkan hukuman 9 bulan dinaikkan kepada setahun.

Wan Ji tidak dibenar menangguhkan hukuman itu, tetapi susulan permohonan rasmi yang difailkan hari ini, dia dibebaskan dari Penjara Kajang sementara menunggu keputusan akhir Mahkamah Rayuan.

Berdasarkan kronologi kejadian, Thomas berkata, rayuan balas oleh pihak pendakwaan dilakukan sebelum PRU14.

Bagi kes mendiang Karpal Singh yang didakwa di bawah Akta Hasutan, Mahkamah Persekutuan membebaskan bekas pengerusi DAP itu daripada tuduhan berkenaan awal tahun ini.

Mahkamah Rayuan tidak melepaskan perayu atau mengurangkan hukuman dalam kes lain.

Dalam beberapa kes, pihak pendakwaan bertindak menarik balik kes mereka apabila perbicaraan bermula.