Pengguna Grab alami kesulitan hari pertama kuat kuasa lesen PSV

Pemandu Grab beri amaran peraturan baru perkhidmatan e-hailing menyebabkan bilangan pemandu berkurang, selain tambang lebih mahal.

KUALA LUMPUR: Pengguna perkhidmatan e-hailing mengakui mereka terpaksa menggunakan alternatif lain selepas mendapati perkhidmatan Grab menyulitkan keadaan dan perjalanan mereka.

Ia susulan Grab memberi amaran peraturan baru perkhidmatan e-hailing akan menyebabkan bilangan pemandu rakan kongsi itu berkurang, selain mengenakan tambang lebih tinggi kepada pelanggan.

Berdasarkan tinjauan FMT di Bukit Damansara hari ini mendapati pada awalnya pengguna masih memilih mempercayai perkhidmatan itu meskipun selepas amaran dikeluarkan.

Bagaimapun, mereka akhirnya mengalah selepas terpaksa menunggu lama dan tambang yang dianggap tidak seperti biasa.

Menurut pelajar kolej swasta, Amanina Salleh, 22, dia menggunakan perkhidmatan itu 2 kali sehari dengan destinasi yang sama setiap hari.

“Dari rumah sewa ke kolej. Kemudian, dari kolej ke pejabat ayah.

“Setiap hari, jumlahnya sama, pergi dan balik dalam harga RM22 hingga RM24 sahaja,” katanya sambil menambah waktu tempahannya juga sama iaitu jam 8.30 pagi dan 3.00 petang.

Bagaimanapun, rutin perjalanan beliau hari ini berubah kerana kadar tambang meningkat sehingga RM11.

Emma Nuraini (kiri) dan Jata Devadas.

“Saya tak mahu lari dari bajet perbelanjaan saya. Saya putuskan untuk menaiki kenderaan awam yang lain meskipun tidak begitu selesa kerana perlu bersesak,” katanya.

Bermula hari ini kerajaan menetapkan semua pemandu e-hailing dan teksi perlu memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) untuk menjalankan perkhidmatan perkongsian kereta.

Pemandu perlu mengikuti sesi latihan 6 jam di pusat memandu dan membayar yuran sebanyak RM200 bagi mendapatkan lesen PSV.

Grab dalam satu kenyataan semalam berkata, pelanggan mungkin mengalami penetapan harga lebih dinamik, bergantung pada lokasi dan masa perkhidmatan.

“Apabila lebih ramai pelanggan membuat tempahan berbanding bilangan pemandu yang ada di sesuatu kawasan pada masa puncak, hari hujan atau tempat lebih terpencil, maka harga tambang akan naik,” kata Grab di laman web syarikat itu.

Sementara itu, pekerja swasta, Jaya Devadas, 27, berkata perubahan itu tidak menganggu perjalanan hariannya kerana lebih selesa mencari alternatif lain daripada membayar harga tambang yang lebih mahal.

Katanya, dia bukanlah pengguna tegar perkhidmatan Grab.

“Cuma 3 hingga 4 kali sahaja seminggu. Jadi, tak begitu menyusahkan saya,” katanya.

Berbeza pula dengan pekerja bahagian pentadbiran, Emma Nuraini, 25, yang berkata dia mengalami kesulitan kerana tidak mempunyai pilihan lain.

“Kawasan tempat tinggal saya tidak begitu ‘mesra’ dengan pengangkutan awam. Oleh itu, Grab sahaja pilihan yang ada.

“Mahal atau tidak, saya kena pilih Grab juga,” katanya.