Putrajaya lanjut tarikh akhir miliki lesen PSV hingga Okt

Pemilikan lesen PSV dilanjutkan sehingga Oktober ini.

PETALING JAYA: Putrajaya mengumumkan pemandu e-hailing yang belum memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) boleh meneruskan perkhidmatan mereka sehingga Oktober ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Jemaah Menteri memutuskan penguatkuasaan peraturan baru itu yang bermula hari ini dilaksanakan melalui pendekatan “soft landing”.

“Ini bermakna semua pemandu e-hailing yang belum mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan dibenarkan meneruskan operasi mereka selama 3 bulan mulai hari ini.

“Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan jalan akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu e-hailing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Loke berkata, ini bermakna, mana-mana pemandu e-hailing yang memandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran supaya melengkapkan semua peraturan tersebut.

Tinjauan FMT hari ini mendapati pengguna perkhidmatan e-hailing mengakui mereka terpaksa menggunakan alternatif lain selepas perkhidmatan Grab menyulitkan keadaan dan perjalanan mereka.

Ia susulan Grab memberi amaran peraturan baru perkhidmatan e-hailing yang berkuatkuasa hari ini akan menyebabkan bilangan pemandu rakan kongsi itu berkurang, selain mengenakan tambang lebih tinggi kepada pelanggan.

Seorang pengguna mendakwa kadar tambang perkhidmatan itu meningkat sehingga RM11 hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata sebanyak 17,596 permit kenderaan e-hailing dikeluarkan merangkumi 4,216 untuk teksi dan 13,380 untuk kenderaan persendirian.

“Sebanyak 31,731 calon mendaftar untuk menduduki kursus dan ujian PSV di 226 institut memandu di seluruh Malaysia.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25,248 calon telah melengkapkan sesi kursus dan 19,891 telah lulus ujian PSV,” katanya.