Putrajaya sahkan RM925 juta dana 1MDB dipulangkan

Kementerian Kewangan mengesahkan menerima bayaran balik dana 1MDB sejumlah RM925 juta setakat ini.

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan mengesahkan menerima RM925.1 juta dana berkaitan 1MDB dikembalikan setakat ini hasil usaha pelbagai pihak berkuasa negara.

Menterinya Lim Guan Eng berkata, antara pihak yang mengembalikan dana itu ialah kerajaan Singapura sebanyak RM92.3 juta; Hotel Park Lane, Manhattan (RM567.8 juta); syarikat Red Granite (RM238 juta); bayaran kepada Yayasan 1MDB (RM6.1 juta) dan kepada 1MDB (RM20.9).

Tambahnya, jumlah itu tidak termasuk hasil jualan kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd sebanyak AS$126 juta (RM527.4 juta).

“Hasil jualan tersebut diterima sepenuhnya pada 23 April 2019 dan kini disimpan di dalam Sheriff’s Stakeholder Account untuk tempoh 3 bulan bagi tujuan
penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalam Recovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan
pada Ogos 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata hasil jualan Equanimity itu kelak akan digunakan untuk melunaskan sebahagian hutang 1MDB yang berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang yang dijamin oleh kerajaan.

Pada 3 April lalu, Putrajaya bersetuju menjual Equanimity kepada syarikat tujuan khas (SPV), Genting Malaysia Bhd iaitu tawaran terbaik yang diterima dalam 5 bulan, sejak kerajaan mengumumkan penjualannya pada Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Lim berkata bayaran balik dana 1MDB itu juga termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB.

“Harus ditekankan jumlah RM6.1 juta yang diterima kembali oleh Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak.

“Akan tetapi, Yayasan 1MDB belum lagi menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi),” katanya.

Semalam di Parlimen, Lim berkata bukti Kojadi ada kaitan dengan 1MDB apabila ada pihak mengembalikan RM6 juta kepada Yayasan 1MDB yang memberi dana sebanyak RM15 juta kepada koperasi tersebut sebelum ini.

Lim turut memuji Pengerusi Kojadi Ng Peng Hong yang bertindak berani menyerahkan kembali dana 1MDB yang diterima koperasi milik MCA itu.

Ng mendakwa koperasi berkenaan menerima geran RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada 2012 untuk skim kredit mikro yang dibuka kepada belia.

Presiden MCA Wee Ka Siong, kemudian didakwa menghalang perjumpaan Kojadi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dana 1MDB.

Wee bagaimanapun menafikan tuduhan itu, mengatakan beliau hanya meminta Ng tidak bertindak tergesa-gesa, sebaliknya berunding dengan peguam dan mencapai persetujuan dengan lembaga pengarah sebelum membuat keputusan.