Saya tidak sasar jawatan PM seperti ‘sesetengah orang’, kata Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PPBM Mukhriz Mahathir tidak menolak cadangan bahawa beliau boleh memainkan peranan lebih besar di peringkat persekutuan apabila bapanya bersara, katanya kepada Nikkei Asian Review baru-baru ini.

“Sekiranya negara memerlukan saya di peringkat persekutuan, saya bersedia dan mampu memikul tanggungjawab itu,” kata menteri besar Kedah itu, yang merupakan anak lelaki ke-3 Dr Mahathir Mohamad.

Mukhriz merupakan salah seorang pemimpin yang diketepikan berikutan kontroversi 1MDB pada 2015-2016 apabila perdana menteri ketika itu, Najib Razak menyingkirkan pemimpin kanan Umno yang bersikap kritikal terhadap cara beliau mengendalikan isu tersebut.

Mukhriz akhirnya meletak jawatan sebagai menteri besar Kedah pada 2016 berikutan satu rampasan kuasa oleh pemimpin Umno tempatan. Beliau kemudiannya dipecat daripada Umno.

Pengkritik Mahathir kerap berkata, beliau mempersiapkan anaknya itu untuk jawatan perdana menteri.

Mukhriz bagaimanapun mengelak daripada menjawab soalan itu, sebaliknya berkata, terdapat orang lain yang mencita-citakan jawatan tersebut.

“Cita-cita saya tidak terlalu besar. Saya tidak buat rancangan untuk menjadi perdana menteri pada suatu hari seperti orang lain,” katanya kepada Nikkei.

Menurut pejanjian dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), Presiden PKR, Anwar Ibrahim dijadualkan menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh 2 tahun.

Mahathir berkali-kali menegaskan peralihan kuasa itu akan berlaku dengan berkata, beliau akan memenuhi janji yang dibuat.

Bagaimanapun wujud tekanan daripada penyokong Anwar dan juga Mahathir, dengan penyokong presiden PKR itu menggesa ditetapkan tarikh khusus peralihan kuasa akan dilakukan bagi menjamin kelancarannya.

Di satu pihak lain, penyokong setia Mahathir berkata Anwar bersikap terburu-buru dan tidak sabar.

Mukhriz berkata, tiada perjanjian bertulis dibuat dalam kalangan pemimpin PH tentang tarikh khusus untuk Anwar mengambil alih kepimpinan kerajaan.

“Tiada perjanjian bahawa ia mesti dalam tempoh 2 tahun. Mungkin ada cadangan begitu, tetapi tiada persetujuan bertulis atau perjanjian mulut tentangnya,” kata beliau.

Katanya, walaupun sudah berusia 94 tahun, bapa beliau masih mampu.

“Walaupun kita maklum tentang usianya, tetapi beliau tidak meunjukkan tanda-tanda mahu berehat.”