Situasi di Pasir Gudang bertambah baik, pusat kawalan ditutup, kata exco Johor

Sebuah tadika yang dipisahkan daripada kawasan perindustrian berat di Pasir Gudang oleh sebatang jalan raya yang digunakan pelbagai kenderaan, termasuk lori muatan berat. (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Pusat kawalan tempat kejadian yang dibuka di Pasir Gudang susulan insiden sesak nafas dan muntah membabitkan beberapa sekolah dipercayai akibat pencemaran sejak 20 Jun lalu ditutup 12 tengah hari semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pusat kawalan di Tingkat 4, Menara Aqabah itu ditutup selepas situasi di Pasir Gudang bertambah baik.

“Namun begitu, Majlis Perbandaran Pasir Gudang diarahkan pegawai daerah Johor Bahru untuk menubuhkan Unit Bantuan Segera Kecemasan dan beroperasi serta-merta bagi menangani situasi, jika didapati insiden itu berulang.

“Sehubungan itu, arahan telah dikeluarkan agar mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Kesejahteraan Pasir Gudang diaktifkan segera mulai minggu depan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Khuzzan berkata, tiada kes baru dilaporkan berhubung simpton sesak nafas dan muntah sehingga 4 petang tadi.

Secara keseluruhan, katanya, pemantauan kualiti udara oleh Jabatan Alam Sekitar sejak seminggu lalu mendapati keadaan bertambah baik dan bacaan udara dalam keadaan normal.

Beliau berkata, melalui pemantauan berterusan JAS sehingga hari ini, 255 premis industri diperiksa dengan ada yang dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sebanyak 125 kompaun dikeluarkan terhadap premis kerana kesalahan membabitkan buangan terjadual, 10 kompaun kerana kesalahan melibatkan efluen perindustrian, 59 notis arahan bagi mematuhi segala perundangan alam sekitar serta 11 perintah tahan operasi.

“Turut dikeluarkan 1 kompaun melibatkan kesalahan kumbahan, manakala 3 lagi arahan untuk disyorkan tindakan mahkamah.”