Umno Pekan mahu batal saman pelucutanhak kerajaan

Peguam M Reza Hassan.

KUALA LUMPUR: Umno Pekan dan seorang ahlinya mahu membatalkan saman pelucutanhak kerajaan terhadapnya berhubung dana yang didakwa daripada 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun bank mereka.

Peguam M Reza Hassan dan Amin Othman yang mewakili Umno Pekan dan ahlinya, Ibrahim Awang Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa mereka mahu membatalkan saman tersebut atas alasan kesilapan prosedur.

Reza berkata, mahkamah perlu mendengar permohonan pembatalan itu sebelum membenarkan kerajaan mengeluarkan notis pihak ke-3 meminta pihak berkepentingan mencabar saman berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata, beliau akan mendengar permohonan Umno Pekan untuk membatalkan saman pelucutanhak tersebut pada 26 Julai, sementara permohonan Ibrahim akan didengar pada 2 Ogos.

Kerajaan mahu melucuthak wang sebanyak RM700,000 daripada Umno Pekan dan RM100,000 daripada Ibrahim.

Amin, yang mewakili Yayasan Rahah, memberitahu mahkamah bahawa satu surat telah dihantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa sebagai sebahagian usaha menyelesaikan saman berkenaan.

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim berkata, beliau perlu mendapatkan arahan daripada SPRM berhubung cadangan penyelesaian itu.

Katanya, ahli Parlimen Maran, Ismail Mutalib, yang juga didakwa menerima dana 1MDB, turut menulis surat mengatakan beliau tidak membantah saman pelucutanhak itu.

Ismail dikatakan menerima RM100,000 daripada 1MDB. Beliau atau peguamnya tidak hadir di mahkamah hari ini.

Nik Haslinie berkata, pihak pendakwaan mahu mendapatkan perintah mahkamah untuk membenarkan mereka mewartakan notis pihak ke-3 kepada mana-mana pihak berkepentingan untuk mencabar saman tersebut.

“Kami akan terus melucuthak aset sekiranya beliau tidak hadir pada keesokan harinya,” kata beliau apabila ditanya oleh Nazlan mengenai langkah pendakwa seterusnya melibatkan saman Ismail.

Mahkamah juga membenarkan pendakwa mengeluarkan notis pihak ke-3 kepada pihak berkepentingan untuk mencabar saman terhadap Umno Kedah, SUPP dan Habib Jewels. Sebutan kes berikutnya ditetapkan pada 13 Sept.

Bulan lepas, ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, agensi itu memfailkan 41 saman pelucutanhak terhadap pelbagai individu dan entiti berhubung dakwaan menerima wang yang disalurkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Naib Razak.

Kerajaan mahu mendapatkan semula dana berjumlah RM270 juta daripada mereka.