Amah dakwa dirogol exco di bawah jagaan rumah perlindungan, kata TPM

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

SERDANG: Pembantu rumah yang mendakwa dirogol majikannya yang juga exco Perak, kini diletakkan di bawah jagaan dan perlindungan sepatutnya, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tidak boleh katakan dia tidak terbela kerana bila saja dia membuat laporan polis, terus polis mengambil tindakan,” katanya selepas merasmikan Forum “Keibubapaan kreatif mendepani cabaran alaf baru” sempena sambutan Hari Ibu Bapa peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Putra Malaysia hari ini.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain dilapor berkata, exco yang ditahan atas dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesianya dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.

Beliau berkata, exco itu turut menjalani pemeriksaan doktor bagi tujuan siasatan.

Pada 8 Julai lalu, polis Perak menerima laporan daripada seorang wanita Indonesia berumur 23 tahun mendakwa dirogol majikannya yang juga exco Perak di rumahnya di Meru, Ipoh.

Media hari ini melaporkan Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memantau rapi perkembangan dakwaan kes rogol melibatkan warganegaranya.

Pegawai polis Kedutaan Indonesia, Chaidir Zahari dilapor berkata pengadu kini ditempatkan di rumah perlindungan.

Mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai warga asing menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri semata-mata untuk dijadikan penama dalam memohon lesen perniagaan, Wan Azizah berkata, ia memerlukan siasatan lanjut.

Beliau berkata, perkahwinan antara Orang Asli dengan sesiapa pun di bawah pengurusan tok batin dan kalau bukan Islam ia melibatkan “customary rights”.

“Kita tidak mahu sesiapa pun wanita kita, walaupun bukan Orang Asli dieksploitasikan.”

Akhbar itu melaporkan pembukaan kawasan pertanian komersial, khususnya sayur-sayuran yang hampir dengan penempatan Orang Asli di negara ini, menjadikan gadis minoriti itu sasaran manipulasi warga asing.

Ia melaporkan warga asing menjadikan gadis Orang Asli sebagai isteri semata-mata untuk dijadikan penama dalam usaha memohon lesen perniagaan atau bantuan kerajaan yang dikhususkan kepada masyarakat itu.