Kerajaan Sabah digesa buat sesi ‘town hall’ Empangan Papar

Bantahan terhadap projek pembinaan Empangan Papar pada Ogos 2018.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah, khasnya Kementerian Pembangunan Infrastruktur digesa menggunakan pendekatan lebih telus dengan memberi penjelasan terperinci mengenai projek pembinaan Empangan Papar.

Pritchard Sebastian Gumbaris yang merupakan setiausaha politik kepada ahli Parlimen Penampang serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking, berkata maklumat itu penting untuk menyelesaikan kekeliruan di kalangan penduduk tempatan di Penampang.

Katanya, ia juga dapat menghentikan cubaan sesetengah pihak memburukkan kerajaan Sabah.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, Leiking sudah menyatakan “tiada seinci tanah Penampang pun” boleh digunakan untuk membina Empangan Papar.

Gumbaris berkata, perlu ada lebih banyak ketelusan mengenai empangan itu kerana ia membabitkan dana besar, mungkin dari tabung kerajaan pusat dan pemahaman mendalam kepentingan masyarakat setempat tidak boleh diketepikan.

Katanya, Leiking menerima banyak panggilan dan mesej teks yang ingin tahu lokasi sebenar empangan itu.

Orang ramai juga ingin tahu sama ada cadangan itu akan menjejaskan mana-mana kawasan di Penampang dan jika ada perbincangan awal antara Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Majlis Daerah Penampang dan pejabat ahli Parlimen Penampang mengenai perkara itu.

Gumbaris berkata, Leiking tidak tahu jika ada mesyuarat atau perbincangan diadakan kerajaan negeri atau Kementerian Pembangunan Infrastruktur mengenai Empangan Papar yang sepatutnya dibina di Papar.

Katanya, Leiking juga tidak tahu di mana lokasi sebenar projek itu.

Gumbaris bersetuju bekalan air menjadi masalah di Sabah, tetapi ia tidak patut mengorbankan Penampang dan daerah lain tidak berbuat apa-apa.

“Apatah lagi cadangan itu diselubungi rahsia.

“Penting untuk kerajaan Sabah tidak mencontohi pemerintahan Barisan Nasional dan Umno Sabah, di mana semua keputusan kerajaan negeri ketika itu dibuat sebelah pihak saja dan diselubungi rahsia tanpa membabitkan pihak berkepentingan.

“Kerajaan negeri perlu bertindak secara profesional dan telus mengenai perkara ini.

“Saya berharap kerajaan negeri akan mengambil pendekatan lebih inklusif untuk memastikan semua pihak berkepentingan diberi peluang menyuarakan kebimbangan mereka melalui perbincangan terbuka seperti sesi town hall.

“Platform sedemikian juga akan memberi peluang kepada kerajaan negeri memberi penjelasan lebih terperinci mengenai isu ini.”

Gumbaris berkata, akhirnya terpulang kepada penduduk Papar untuk menentukan jika mereka mahu empangan itu.