Malaysia sita RM1 bilion dibayar pada kontraktor China, kata laporan
Akhbar Singapura melaporkan HSBC diberitahu memindahkan wang dalam akaun bank China Petroleum Pipeline Engineering Ltd kepada Suria Strategic Resources Sdn Bhd milik Kementerian Kewangan.
PETALING JAYA: Lebih RM1 bilion dalam akaun bank Malaysia milik sebuah syarikat China dilapor dipindahkan atas arahan kerajaan ke sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.
Akhbar Singapura, The Straits Times menyifatkan rampasan dan pemindahan dana oleh pihak berkuasa Malaysia itu sebagai “langkah yang tidak pernah berlaku dalam perbankan Malaysia”.
Menurut laporan itu, gergasi perbankan global, HSBC diberitahu awal bulan ini untuk memindahkan wang dalam akaun bank China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) di Malaysia kepada Suria Strategic Resources Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.
Syarikat milik kerajaan China itu ialah kontraktor utama bagi projek Saluran Paip Pelbagai Produk di Semenanjung sepanjang 660km yang berharga RM5.35 bilion, dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) bernilai RM4.06 bilion. Kerajaan Pakatan Harapan sudah menggantung kedua-dua projek itu.
Tahun lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, kerajaan cuba mendapatkan wang yang sudah dibayar kepada kontraktor TSGP.
“Kami ada 2 pilihan ketika ini — sama ada mendapatkan dana yang dibayar awal atau meneruskan projek itu,” katanya ketika itu.
Hari ini, akhbar itu melaporkan CPP mengesahkan dana itu sudah dipindahkan.
“CPP tegas mematuhi undang-undang Malaysia dan bingung dengan pemindahan wang oleh sebelah pihak tanpa memaklumkan CPP,” kata syarikat itu.
HSBC bagaimanapun enggan mengulas.
Tahun lalu, kerajaan PH mempertikaikan kira-kira RM8.3 bilion atau 88% daripada nilai kontrak RM9.41 bilion, dibayar kerajaan terdahulu melalui Suria Strategic Resources sedangkan hanya 13% kerja disiapkan.
Menurut laporan itu, beberapa akaun bank CPP dibekukan apabila kerajaan menggantung 2 projek saluran paip itu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Tahun lalu, laporan media mendakwa wang yang dibayar Suria Strategic Resources dialihkan ke syarikat pihak ke-3 di Cayman Island dikaitkan dengan skandal 1MDB. CPP bagaimanapun menafikan dakwaan itu.