Mansuh Akta Hasutan, penganalisis berbeza pendapat

Buku Harapan, 100 hari, Pakatan harapan
Manifesto pilihan raya PH antara lain berjanji mahu menghapuskan Akta Hasutan.

KUCHING: Penganalisis berbeza pendapat tentang langkah pemansuhan undang-undang yang dianggap menindas, dengan seorang daripada mereka berkata, pembangkang akan menggunakan kegagalan Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian terhadapnya, sementara yang lain berkata, undang-undang itu mungkin masih perlu.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jeniri Amir berkata, kerajaan PH tidak boleh membuat satu lagi pusingan U dengan tidak memansuhkan Akta Hasutan 1948.

“Mahu tidak mahu mereka perlu mansuhkan Akta Hasutan,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan kesediaan Putrajaya berbuat demikian dengan berkata, ia seolah-olah mahu menggunakan undang-undang itu sebagai amaran kepada aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sarawak supaya tidak melampau batas dalam usaha mereka mendapatkan kebebasan untuk negeri itu.

Jeniri Amir.

“Barangkali perdana menteri mula sedar tentang aspek tertentu undang-undang itu bagi memelihara kedaulatan negara, terutamanya isu berkaitan bangsa, agama dan Raja-raja,” katanya.

Pada Mei lepas, Menteri Undang-undang Liew Vui Keong mengumumkan bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan atau digantikan dengan undang-undang baru atau meletakkan peruntukannya di bawah Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun minggu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberitahu Parlimen bahawa akta tersebut akan digunakan terhadap pihak yang menggesa Sarawak menarik diri daripada Malaysia sekiranya mereka menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Akta Hasutan masih relevan dalam konteks keselamatan negara, iaitu bagi melindunginya daripada ancaman domestik.

Beliau yang maklum bahawa kerajaan PH berjanji mahu menghapuskan semua undang-undang yang dianggap menindas, termasuk Akta Hasutan, memetik kata-kata Mahathir sebelum ini bahawa “manifesto PH bukan kitab suci, tetapi hanya satu panduan”.

Awang Azman Awang Pawi.

Awang Azman berkata, perlu ada had terhadap kebebasan bersuara, terutamanya ke atas pihak yang menghasut orang lain supaya mencetuskan kekacauan dan menggugat pentadbiran negara.

“Tidak ada kebebasan mutlak di dunia ini. Malah perkara berkaitan hak, status, kedudukan, kedaulatan, keistimewaan dan budi bicara tertentu dilindungi di bawah Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik dari Unimas, Arnold Puyok berkata, langkah kerajaan mahu memansuhkan sepenuhnya akta itu adalah berisiko kerana rakyat tidak matang dari segi politik untuk bercakap mengenai isu sensitif secara bertanggungjawab.

Arnold Puyok.

“Isu berkaitan bangsa, agama dan Raja-raja masih dibincangkan dan didebatkan, dan kita melihat pihak yang menjadi beremosi dan tidak dapat dikawal apabila bercakap mengenainya.

“Kerajaan persekutuan boleh mengekalkan akta itu, tetapi mereka harus menggunakannya dengan lebih berhati-hati,” katanya.