Menteri gagal lihat ‘mimpi ngeri’ dalam perkhidmatan e-panggilan, kata Pemuda Umno

Pengarah strategi Pemuda Umno Wan Agyl Wan Hassan berkata, semangat asal dasar perkhidmatan e-panggilan ialah untuk membolehkan industri itu berjalan sendiri.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan dasar mengenai perkhidmatan e-panggilan tidak difikirkan secara teliti oleh kerajaan, justeru menyebabkan “mimpi ngeri” kdalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri itu, kata Pemuda Umno hari ini.

Pengarah strateginya, Wan Agyl Wan Hassan berkata, tindakan kerajaan kelihatan bertentangan dengan semangat asal dasar yang digubal pada 2016 itu, iaitu untuk membenarkan pasaran berjalan sendiri.

Wan Agyl, yang merupakan bekas ketua pasukan dasar dan perancangan operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang kini dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berkata, terdapat banyak isu yang gagal diambil maklum oleh Kementerian Pengangkutan.

Beliau memberi respons terhadap tempoh penangguhan 3 bulan kepada pemandu e-panggilan yang tidak mempunyai lesen seperti diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook semalam.

Bermula semalam, semua pemandu e-panggilan sepatutnya memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) tetapi berikutan bantahan daripada pemandu dan operatornya, Loke memutuskan untuk menangguhkan keperluan itu.

Wan Agyl berkata, beliau telah mengendalikan dasar berkaitan perkhidmatan e-panggilan sejak ia digubal pada 2016.

“Malangnya kerajaan hari ini kelihatan bertindak bertentangan dengan semangat asal dasar tersebut. SPAD pada masa itu berniat membenarkan pasaran berjalan sendiri dan tidak terlalu mengawal selia industri tersebut kerana sifat industri e-panggilan yang dinamik.

“Hampir pasti, tempoh penangguhan 3 bulan syarat PSV itu tidak akan mencukupi disebabkan peraturan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ketinggalan zaman. Begitu juga had atas kemampuannya untuk memenuhi keperluan kira-kira 200,000 pemandu e-panggilan bagi mendapatkan lesen PSV, terutamanya kerana prosedur operasi standard dan sifat kerjanya yang ketat.”

Beliau berkata, keperluan memastikan pemandu menghadiri latihan PSV di sekolah memandu sudah merupakan satu “mimpi ngeri”, sementara syarikat e-panggilan juga mesti didaftarkan sebagai institut memandu dengan JPJ sekiranya ia mahu menyediakan kemudahan latihan.

Mereka perlu mempunyai pusat latihan dengan kelengkapan yang dibekalkan oleh vendor JPJ untuk disambungkan dengan sistem jabatan itu, sementara ujian PSV itu pula diambil di pusat JPJ.

Katanya, hanya ada satu pusat sedemikian di Selangor yang mampu menerima 50 orang pada satu-satu masa.

Beliau berkata, satu lagi “mimpi ngeri” ialah pengeluaran kad PSV oleh JPJ kepada syarikat e-panggilan bagi membolehkan ia didaftarkan untuk menjalankan latihan itu sendiri.

Kad tersebut hanya boleh dikeluarkan di pejabat JPJ di Selangor dan pejabatnya yang paling besar di Padang Jawa pula hanya mempunyai satu kaunter operasi.

Beliau berkata, keadaan akan menjadi lebih rumit kerana syarikat e-panggilan harus membayar yuran bagi setiap pemandu secara individu.

Wan Agyl berkata, Loke mungkin tidak menyedari tentang rancangan pelaksanaan itu secara terperinci kerana sekiranya beliau tahu, sudah pasti beliau tidak membenarkan ia dilaksanakan pada masa ini.

“Beliau juga perlu faham tentang ketidaksediaan JPJ mengubah suai peraturannya, termasuk SOP jabatan itu supaya sesuai dengan keperluan serta perubahan yang sentiasa akan menjadi penghalang terhadap pelaksanaan dasar berkaitan perkhidmatan e-panggilan.

“Jadi mungkinkah kita melihat pelaksanaan dan pematuhan dasar e-panggilan dalam tempoh 3 bulan ini? Saya meraguinya.”