Exco Perak mahu lapor bekas pembantu, guru, tuduh rasuah kepada PKR, kementerian

Exco Perak Abdul Yunus Jamhari. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Abdul Yunus Jamhari yang dituduh bekas pembantu khasnya menerima komisyen daripada 2 syarikat akan membuat laporan kepada lembaga disiplin PKR berkaitan penglibatan beberapa ahli parti memfitnahnya.

Exco Perak itu berkata, beliau juga akan membuat laporan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai penglibatan seorang guru yang dikatakan bersubahat melakukan fitnah dengan tujuan menjatuhkannya dan menggugat kestabilan kerajaan.

“Saya sekali lagi menafikan dengan keras segala tuduhan dan fitnah jahat yang dilempar terhadap saya seperti laporan polis yang tular sejak semalam.

“Saya wakil rakyat 3 penggal, gaji dan elaun sebagai Adun serta exco sudah cukup. Tahun 2009 saya tolak rasuah puluhan juta untuk melompat parti.

“Pelik jika saya ingin mengambil rasuah beberapa ratus ribu seperti dituduh,” katanya dalam satu kenyataan, selepas membuat laporan polis, hari ini.

Terdahulu, bekas pegawai khas kepada Abdul Yunus, Beh Yong Kean membuat laporan polis mendakwa beliau cuba meminta “komisyen” daripada 2 syarikat.

Beh mendakwa, Abdul Yunus bertindak membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya supaya dia dapat memulakan proses rundingan dengan 2 syarikat itu.

Abdul Yunus berkata, beliau dan pegawai di pusat khidmat masyarakatnya sentiasa bermesyuarat pada setiap minggu atau bulan. Bahkan pelbagai dokumen serta surat kerajaan dibincangkan bagi menyelesaikan aduan dan masalah rakyat.

Adun Kuala Kurau itu turut mengulangi penegasannya bahawa bekas pembantu khasnya itu adalah pemilik kilang haram di Tanjung Piandang, yang pada ketika ini dalam proses tindakan penguatkuasaan oleh beberapa agensi.

“Saya yakin, beliau mempunyai motif dendam ke atas saya memandangkan saya tidak menyokong kelulusan beberapa permohonan tanah diminta oleh beliau sejak tahun lalu,” katanya.