Hukuman mati: Singapura nafi sasar rakyat Malaysia

Peguam N Surendran berkata, kerajaan Singapura menolak petisyen pengurangan hukuman 4 rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati di republik itu.

PETALING JAYA: Kerajaan Singapura menolak dakwaan seorang peguam hak asasi manusia bahawa ia menyasarkan tahanan rakyat Malaysia untuk dijatuhi hukuman mati dengan berkata, ia menguatkuasaan undang-undang negara itu secara “saksama” ke atas pesalah tempatan dan juga asing.

“Semua pesalah, tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk mereka yang dijatuhi hukuman mati diberikan proses wajar di bawah undang-undang,” kata Kementerian Dalam Negeri Singapira, lapor akhbar Straits Times.

Kementerian itu berkata, semua warga asing di Singapura perlu mematuhi undang-undang negara itu, selain bersedia berhadapan akibatnya sekiranya mereka melanggar undang-undang.

Ia berkata, Singapura mempunyai “pemerintahan berasaskan undang-undang yang tegas dan badan kehakimanyang bebas”.

Kementerian berkenaan memberi respons terhadap penasihat kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty, N Surendran yang bertanya sama ada republik itu sedang ghairah untuk menjatuhkan hukuman mati berikutan penolakan banyak petisyen pengurangan hukuman yang disifatkannya sebagai sesuatu yang “tidak dijangka dan mengejutkan”.

Ini termasuk petisyen 4 orang tahanan rakyat Malaysia.

Bekas ahli Parlimen Padang Serai itu juga berkata, penolakan serentak beberapa petisyen pengurangan hukuman menimbulkan persoalan sama ada kes setiap tahanan diberi pertimbangan wajar oleh Kabinet negara itu dan Presidennya Halimah Yacob.

Bagaimanapun menurut Straits Times, Kementerian Dalam Negeri Singapura berkata, setiap petisyen dipertimbangkan secara teliti dan bahawa presiden “bertindak atas nasihat Kabinet” seperti ditetapkan oleh perlembagaan negara itu.

“Pelaksanaan hukuman mati adalah satu isu bahawa setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk memutuskannya sendiri dengan mengambil kira hal keadaan masing-masing.

“Tidak ada konsensus antarabangsa menolak penggunaan hukuman mati apabila ia dikenakan berdasarkan proses wajar undang-undang,” kata kementerian itu lagi menurut akhbar tersebut.

Katanya, Singapura menghormati hak kedaulatan negara lain untuk menentukan sistem perundangannya sendiri dan berharap “haknya juga dihormati negara lain”.