Jangan libat DPP dengan manifesto politik, kata peguam

Beberapa peguam berkata, manifesto politik bukan dokumen undang-undang, justeru tidak boleh dijadikan asas pendakwaan.

PETALING JAYA: Dua peguam berkata, adalah tidak wajar timbalan pendakwa raya (DPP) membaca manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi memahami pendirian kerajaan berhubung undang-undang tertentu seperti disaran oleh penasihat DAP Lim Kit Siang.

Peguam Jayaseelan Anthony dan N Sivananthan berkata, manifesto politik, yang bukan merupakan satu dokumen undang-undang, tidak boleh dijadikan asas pendakwaan.

Gesaan supaya DPP membaca manifesto PH “adalah terlalu simplistik sehingga mencecah tahap kebudak-budakan,” kata Anthony.

Mereka memberi respons terhadap kontroversi terbaru berhubung pendakwaan yang dilakukan oleh kerajaan walaupun PH mempunyai pendirian menolak undang-undang tertentu seperti Akta Hasutan.

Pada Khamis, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dalam satu kes hasutan melibatkan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin dan menambah hukuman penjara ke atasnya daripada 9 bulan kepada 1 tahun.

Wan Ji sebelum itu disabitkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mengeluarkan kata-kata yang dianggap menghina Sultan Selangor dalam satu hantaran Facebook pada November 2012.

Berikutan itu, Lim Kit Siang berkata, “bagi mengelakkan kesilapan seperti yang menimpa Wan Ji daripada berulang, semua DPP hendaklah membaca manifesto PH dan mendapatkan arahan baru daripada peguam negara sekiranya mereka mempunyai kemusykilan, terutamanya dalam kes yang bermula sebelum pilihan raya umum lepas.”

Anthony berkata, Pejabat Peguam Negara tidak terikat dengan janji kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan, walaupun rakyat Malaysia mungkin berharap kes hasutan yang tertangguh, termasuk yang melibatkan rayuan, akan ditarik balik.

“Inilah yang berlaku sebelum ini, tetapi dalam kes Wan Ji, berlaku sesuatu yang sangat silap di Pejabat Peguam Negara,” kata Anthony.

“Pejabat Peguam Negara sepatutnya mempunyai satu jadual mudah berhubung kes hasutan yang tertangguh. Peguam negara juga sepatutnya membincangkan kes ini, termasuk kes Wan Ji, dengan ketua unit pendakwaan,” katanya kepada FMT.

Dengan demikian, DPP akan mendapat arahan yang tepat untuk menarik balik rayuan silang terhadap Wan Ji.

“Ini adalah kes tangan kanan tidak tahu apakah yang dibuat oleh tangan kiri. Ia tidak baik kerana orang ramai akan hilang keyakinan kepada peguam negara.”

Peguam lain, N Sivananthan berkata, “adalah sangat tidak masuk akal dan salah sekiranya DPP perlu merujuk dan membaca sebuah manifesto politik.”

Katanya, semua dasar dan arahan sepatutnya diberikan oleh peguam negara, bukannya sebuah manifesto. Idea supaya merujuk manifesto akan menunjukkan wujudnya elemen politik dalam proses pembuatan keputusan dalam kalangan DPP.

Manifesto tidak boleh dijadikan asas pendakwaan, selain berlawanan dengan agenda “neutral” yang diperjuangkan semua pihak.

Seorang lagi peguam, Syed Iskandar Jaafar Al Mahdzar berkata, kes bermotif politik yang dimulakan oleh kerajaan sebelum ini mudah dikesan. Justeru DPP harus mendapatkan nasihat peguam negara terlebih dahulu sebelum meneruskannya.

Manifesto PH tidak boleh menjadi asas sama ada seorang itu harus didakwa atau sebaliknya. Bagaimanapun ia masih berperanan sebagai panduan berhubung dasar kerajaan sekarang, katanya.

Beliau berkata, pihak yang mengabaikan semangat manifesto itu “tidak lagi layak untuk bekerja dengan kerajaan yang memerintah”.

Peguam jenayah KA Ramu berkata, DPP perlu mahir mengenai undang-undang negara dan isu nasional.

“Walaupun sekiranya petisyen rayuan terhadap hukuman yang tidak memadai difailkan oleh DPP sebelum pilihan raya umum lepas, mereka perlu menghantar notis kepada peguam negara bagi mendapatkan arahan lanjut.

“Ini kerana ia melibatkan dasar awam dan manifesto tersebut, sama ada mahu meneruskan rayuan terhadap hukuman atau sebaliknya bagi mengelakkan perdebatan yang tidak perlu.”