Kekal Akta Hasutan, tapi perjelas takrifnya, kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, takrif di bawah Akta Hasutan perlu dibincangkan bagi menjelaskannya, walaupun ada pihak yang menggesa undang-undang itu dimansuhkan.

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata Akta Hasutan harus dikekalkan walaupun ada pihak yang menggesa ia dimansuhkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan ke atas seorang pendakwah bebas di bawah undang-undang itu.

Hadi berkata, takrif hasutan dan perkara-perkara yang dinamakan hasutan perlu dibincangkan bagi menjelaskannya.

“Kini kita mendengar desakan menghapuskan Akta Hasutan. Jangan sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan.

“Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan undang-undangnya,” kata ahli Parlimen Marang itu dalam satu kenyataan malam tadi.

Pemuda Pakatan Harapan dan kumpulan hak asasi Suara Rakyat Malaysia (suaram) menggesa undang-undang itu dimansuhkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan ke atas pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin kerana membuat kenyataan menghasut terhadap Sultan Selangor.

Hukuman penjara ke atas Wan Ji juga ditambah daripada hukuman asal 9 bulan kepada 1 tahun.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan rayanya tahun lepas berjanji untuk menghapuskan undang-undang zaman kolonial itu.

Pada Khamis, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memansuhkan akta itu dan menggantikannya dengan satu undang-undang baru.

Hadi berkata, beliau mendapati pihak yang menggesa undang-undang itu dimansuhkan adalah juga pihak yang secara peribadi berkait dengan isu melibatkannya.

“Tiba-tiba masing-masing mencabut topeng dan memperkenalkan siapa diri mereka yang sebenar.”

Beliau seterusnya berkata, PAS sebelum ini pernah menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), satu lagi undang-undang kontroversi yang kini telah dimansuhkan, bagi menghadapi ancaman komunis, walaupun ada dalam kalangan anggota parti itu turut menjadi mangsa akta tersebut.

“PAS pernah menjadi mangsa penyalahgunaan ISA, namun ia adalah satu perkara lain,” katanya, merujuk kepada penahanan beberapa orang pemimpin PAS dan aktivis di bawah ISA dalam Operasi Lalang pada 1987.