Nazri boleh jadi penasihat BN, tapi sanggupkah dia kritik PH, soal Najib

Najib Razak berkata, Nazri Aziz pernah menolak kerjasama dengan PAS dan menggesa Umno mengetepikan MCA serta MIC dan bekerjasama dengan DAP.

PETALING JAYA: Najib Razak menafikan dakwaan Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz yang pelantikannya sebagai penasihat Barisan Nasional ialah batu loncatan untuk beliau kembali menjadi perdana menteri.

Bekas perdana menteri itu dipetik Sinar Harian ketika menghadiri Program Santai Petang Bersama Bossku di Batu Kawan, hari ini berkata, beliau dilantik untuk memperkukuhkan BN dan parti komponennya.

Katanya, sesiapa saja boleh memainkan peranan penasihat BN, tetapi individu itu perlu sanggup mengkritik Pakatan Harapan secara konsisten dan turut mendapat sokongan MCA serta MIC.

“Kalau dia mahu, dia boleh menggantikan tempat saya sebagai penasihat BN. Tapi dia perlulah mainkan peranan dia sebagai seorang ahli Parlimen pembangkang.

“Tanggungjawab pemimpin parti pembangkang bukan hanya untuk membangkang pihak pembangkang saja. Sekali-sekala pun perlu kritik kerajaan.

“Perlu ada semangat perjuangan untuk melawan kerajaan PH dengan konsisten,” tulisnya di Facebook malam ini.

Terdahulu, Nazri membantah pelantikan Najib sebagai penasihat BN dengan alasan ahli Parlimen Pekan itu sudah diberikan 2 peluang untuk mengetuai Umno dan BN, tetapi beliau gagal.

Beliau juga bimbang pelantikan Najib akan menjejaskan kerjasama Umno-PAS.

Najib berkata, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sendiri menjelaskan pelantikannya sebagai penasihat BN tidak akan menjejaskan kerjasama 2 parti itu.

Katanya, Nazri pernah menolak kerjasama dengan PAS dan menggesa Umno mengetepikan MCA serta MIC dan bekerjasama dengan DAP.

“MCA sebelum ini memaklumkan kepada saya antara sebab undi Cina merosot kerana kritikan keterlaluan beliau terhadap Robert Kuok sehingga menyebabkan orang Cina tersinggung dengan apa yang dilakukan beliau.”

Beliau berkata, keutamaannya sekarang ialah memperkukuhkan BN dan parti komponennya, serta menggesa pihak yang berminat untuk memberi sumbangan kepada parti itu.

“Inilah semangat yang perlu kita ada, daripada kita mengkritik satu sama lain secara terbuka, kita cari jalan bagaimana bekerjasama antara satu sama lain boleh mengukuhkan lagi parti kita.”