Penganalisis: Minat asing terhadap Bursa Malaysia terus kukuh

Ringgit terus mendapat dorongan daripada kenaikan harga minyak mentah global dalam keadaan dolar AS lemah memandangkan pelabur bersedia berdepan kemungkinan penurunan kadar faedah.

KUALA LUMPUR: Minat pelabur asing terhadap pasaran Malaysia merangkumi ekuiti tempatan dan ringgit terus kekal kukuh, kata Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata, pelabur asing masih menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia dengan nilai belian ekuiti RM214.73 juta bagi tempoh 8 hingga 11 Julai berbanding RM253.8 juta yang dicatatkan antara 1 hingga 4 Julai.

Perkembangan positif daripada perang perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) sejak Sidang Kemuncak G20 pada akhir Jun di samping petunjuk terbaru susulan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell mengenai kemungkinan pengurangan kadar faedah seawal Julai telah mendorong keyakinan dalam pasaran ekuiti, katanya.

Sementara itu, ringgit turut merekodkan aliran memberangsangkan minggu ini apabila mata wang tempatan meningkat 0.5% kepada RM4.11 berbanding dolar AS.

“Bagi tempoh mendatang, pelabur akan memantau perkembangan perang perdagangan sama ada akan berlaku perbincangan antara China dan AS dalam masa terdekat.

“Mereka juga akan mengikuti rapat mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed pada 30 hingaa 31 Julai bagi mengetahui sama ada Fed akan melaksanakan pengurangan kadar faedah buat kali pertama sejak krisis subprima pada 2007/2008,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, peningkatan Indeks Harga Pengguna utama AS kepada 2.1% pada Jun seperti diumumkan baru-baru ini, yang mengatasi unjuran konsensus 2.0%, mungkin menimbulkan keraguan untuk pengurangan kadar faedah dilaksanakan.

Bursa Malaysia memulakan minggu dengan prestasi positif memandangkan belian pelabur meningkat susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.00%.

Pasaran itu kemudian merekodkan prestasi rendah mulai Rabu dan seterusnya kerana bursa tempatan akur dengan aktiviti pengambilan untung dalam keadaan pasaran terlebih beli selepas 2 hari mengalami kenaikaan kukuh.

Pelabur institusi dan runcit tempatan kekal sebagai penjual bersih.

Institusi tempatan menjual ekuiti bernilai RM277 juta antara 8 hingga 11 Julai berbanding RM162.2 juta antara 1 dan 4 Julai, manakala pelabur runcit menjual RM65.2 juta nilai ekuiti berbanding RM58.4 juta sebelumnya.

Bagi perkembangan mata wang tempatan, ringgit rendah semasa memulakan minggu, namun kembali tinggi pada akhir dagangan mingguan memandangkan pelabur memberi reaksi positif kepada keputusan BNM berkaitan OPR.

Malah unit tempatan juga terus mendapat dorongan daripada kenaikan harga minyak mentah global dalam keadaan dolar AS lemah memandangkan pelabur bersedia berdepan kemungkinan penurunan kadar faedah.

Bagi minggu seterusnya, pasaran akan memantau data ekonomi suku kedua China yang akan dikeluarkan seiring dengan petunjuk ekonomi penting lain pada Isnin.

Justeru itu, ringgit dijangka tidak berubah pada jajaran antara 4.11 dan 4.13 berbanding dolar AS selain FBM KLCI Bursa Malaysia akan menguji paras 1,680 minggu depan.