Permohonan ekstradisi Zakir Naik ‘dalam rundingan’, kata India

Pihak berkuasa India memfailkan pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM115 juta ke atas Dr Zakir Naik, yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan India berkata, ia diberitahu oleh Putrajaya bahawa permohonan ekstradisi negara itu ke atas Dr Zakir Naik sedang “dalam rundingan”.

Kementerian Dalam Negeri India berkata, New Delhi mengusahakan perkara itu bukan sahaja melalui kerajaan Malaysia, tetapi juga suruhanjaya tingginya di Kuala Lumpur.

“Kami telah berkali-kali memohon ekstradisi Zakir Naik bukan sahaja melalui perundingan dengan kerajaan Malaysia, tetapi juga menerusi suruhanjaya tinggi kami,” kata jurucakap kementerian itu, Raveesh Kumar, Khamis, ketika menjawab soalan.

“Kami meminta mereka mempercepatkan proses itu. Kami diberitahu bahawa ia sedang dirundingkan dan prosesnya akan mengambil masa.”

Pihak berkuasa India memfailkan pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM115 juta ke atas pendakwah berusia 53 tahun itu, yang diberikan status pemastautin tetap di Malaysia.

Zakir juga didakwa menimbulkan permusuhan dan kebencian antara pelbagai komuniti agama dalam syarahan beliau.

Bulan lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia berhak untuk tidak mengekstradisi Zakir sekiranya beliau tidak akan dilayan dengan adil.

Beliau berkata, keadaannya adalah sama dengan langkah Australia tidak menghantar pulang Sirul Azhar Umar, seorang bekas pengawal peribadi yang dijatuhi hukuman mati pada 2015 kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, ke Malaysia.

“Kami meminta Australia mengekstradisi Sirul, tetapi mereka bimbang kami akan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya” Mahathir dilaporkan berkata.

“Zakir berasa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil (di India).”

Di Parlimen Khamis lepas, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, Zakir tidak disenaraikan dalam Notis Merah Interpol sebagai penjenayah atau pelarian yang dikehendaki.

“Carian oleh kementerian mendapati Zakir Naik tidak disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki. Beliau tidak dinamakan sebagai suspek apabila kami memeriksa senarai pengganas UNSCR,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man.