Sekolah konven Pulau Pinang mungkin dipulihkan dengan silibus ‘lebih menyeluruh’, kata SIJ

SIJ merupakan pemilik sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan yang terletak di Convent Light Street (gambar atas) dan Convent Pulau Tikus. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Misi mubaligh Kristian Perancis-Katolik yang mahu mendapatkan semula sekolah konven miliknya daripada kerajaan hari ini berkata, ia mengambil langkah itu berikutan kemerosotan jumlah pelajar dan kos pemulihan sekolah berusia hampir 200 tahun itu yang terlalu tinggi.

Perkara ini didedahkan dalam satu kenyataan yang diemelkan kepada FMT oleh Lady Superior Mary Theresa Chua daripada Sisters of the Holy Infant Jesus (SIJ).

SIJ merupakan pemilik sekolah rendah dan menengah jenis kebangsaan yang terletak, masing-masing di Convent Light Street (CLS) dan Convent Pulau Tikus (CPT).

CLS yang merupakan sekolah konven pertama di Malaysia diwujudkan pada 1852 dan tertua di Asia Tenggara.

Dua sekolah berkenaan mendapat perhatian baru-baru ini berikutan cakap-cakap kemungkinan ia ditutup dan tanahnya dijual kerana kedudukannya yang terletak di lokasi strategik.

Chua sekali lagi menegaskan bahawa sekolah terbabit tidak akan dijual atau wujudnya rancangan untuk membangunkan semula tapak tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata, sekolah tersebut mungkin dipulihkan semula dengan “silibus lebih menyeluruh”, selain kembali kepada tujuan asal penubuhannya.

“Sepanjang dekad lepas, kemerosotan berterusan jumlah pelajar menjadi isu yang diberi perhatian dan dipantau secara dekat.

“Kos yang meningkat bagi menyelenggara bangunan sekolah CLS berusia lebih 150 tahun itu juga merupakan kerisauan utama.

“SIJ telah meminta supaya premis sekolah di CLS dan CPT, yang diambil alih oleh Kementerian Pendidikan pada 1972 dan digunakan sebagai sekolah bantuan kerajaan, dikembalikan kepada kami,” kata beliau.

Chua berkata, kementerian telah meluluskan permohonan tersebut dan sekolah berkenaan akan dikembalikan kepada SIJ apabila pelajar sedia ada menamatkan tahun akademik mereka di CPT pada 2023 dan CLS pada 2024.

Sekolah berkenaan mengikuti silibus persekolahan kebangsaan dan ditadbir oleh Kementerian Pendidikan, yang turut menyediakan guru dan kakitangan pentadbiran.

“SIJ mahu memulakan proses transformasi bagi meneruskan dan memngekalkan tradisi pembelajaran yang dinamik, progresif dan relevan melalui penyediaan kandungan silibus yang lebih menyeluruh.

“Namun begitu, pada masa sama kami mahu mengekalkan watak dan etos sekolah konven.

“Kami yakin dengan pendidikan dan akan terus memajukan pendidikan menyeluruh di sekolah mubaligh.

Konven di Convent Light Street diasaskan oleh SIJ 167 tahun lepas, sementara Konven Pulau Tikus dibuka pada 1922.