Tak perlu hukum Nazri, Khairy kerana kritik Najib, kata Umno

Annuar Musa meminta semua pihak tidak mempolitikkan kritikan Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin terhadap Najib Razak. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Tiada keperluan untuk Umno mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kerana mengkritik pelantikan Najib Razak sebagai penasihat Barisan Nasional, kata Annuar Musa.

Setiausaha agung Umno itu berkata, menyuarakan pendapat peribadi bukan satu kesalahan dan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi terbuka menerima pandangan pelbagai pihak.

“Tiada sebarang tindakan disiplin perlu diambil terhadap sesiapa mengenai isu tersebut. Tambahan pula jawatan pengerusi jemaah penasihat BN bukan satu jawatan yang termaktub dalam perlembagaan BN.

“Tetapi merupakan tindakan konsensus BN yang lebih bersifat administratif dan budi bicara,” tulisnya di Facebook malam ini.

Annuar meminta semua pihak tidak mempolitikkan kritikan Nazri dan Khairy terhadap Najib.

“Semua orang bebas memberikan pandangan peribadi masing masing.”

Terdahulu, Nazri membantah pelantikan Najib sebagai penasihat BN dengan berkata, bekas perdana menteri itu sudah diberikan peluang 2 kali untuk mengetuai Umno dan BN, namun masih gagal.

Beliau juga bimbang pelantikan Najib akan menjejaskan kerjasama Umno-PAS dan tidak faham bagaimana pucuk pimpinan BN, khususnya Umno boleh melantik Najib yang sedang dibicarakan di mahkamah atas pelbagai pertuduhan.

Beliau berkata, Najib tidak sepatutnya menjadikan Umno dan BN sebagai perisai ketika berdepan pelbagai tuduhan di mahkamah.