Tiada pemberhentian pekerja, bukan ambil alih penuh, kata bekas CEO MAB, kesatuan

Kerajaan terbuka kepada sebarang cadangan atau perkongsian luar berhubung pengambilalihan MAB, termasuk dari negara jiran seperti Singapore Airlines.

KUALA LUMPUR: Tiada pemberhentian pekerja, bukan penswastaan penuh dan mengekalkan Malaysia Airlines Bhd (MAB) sebagai syarikat penerbangan nasional, adalah antara permintaan bekas pegawai dan kesatuan kakitangannya jika kerajaan bersetuju pihak swasta mengambil alih syarikat itu.

Mereka berpandangan pilihan terbaik adalah usaha sama dengan kerajaan, selain mengekalkan kepentingan Khazanah Nasional Bhd dalam MAB.

Menurut mereka, ini kerana pemilikan swasta secara penuh hanya akan menjejaskan kepentingan negara.

Bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Abdul Aziz Abdul Rahman dan presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam), Ismail Nasaruddin amat berharap kerajaan kekal menjadi pemegang kepentingan majoriti dalam MAB.

Abdul Aziz berkata, usaha sama tersebut menjadi langkah terbaik dalam usaha memulihkan MAB memandangkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk disuntik ke dalam syarikat penerbangan itu.

“Semuanya bergantung kepada kerajaan, bahkan kalau nak jual semua saham sekali gus pun boleh kerana mereka punya hak untuk melakukannya.

Abdul Aziz Abdul Rahman.

“Kerajaan boleh ambil bahagian dalam perniagaan MAB tetapi dengan kerjasama pihak swasta. Itu cara yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Ismail percaya terdapat beberapa yang tidak seharusnya dilepaskan oleh kerajaan demi kepentingan syarikat penerbangan itu dan negara.

“Penting untuk kerajaan memiliki ‘saham emas’ (kepentingan majoriti) dalam MAB kerana skop menjalankan perniagaan mungkin akan berbeza (pada masa depan).

“(Jika tidak) MAB akan diuruskan mengikut cara swasta menjalankan perniagaan, dengan mereka (pihak swasta) boleh memberhentikan 10,000 pekerja begitu sahaja,” katanya.

Beliau berpendapat MAB perlu dipantau oleh Pejabat Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan di samping mengurangkan kepentingan Khazanah sebagai pemegang saham tunggal dalam syarikat penerbangan berkenaan bagi menghapuskan sebarang “gangguan dalaman”.

“Selama ini Khazanah yang merangka pelan pemulihan dan tidak dapat dilaksanakan.

“Justeru, kerajaan sewajarnya membenarkan pasukan baru (dalam lembaga pengarah dan pengurusan atasan) untuk memimpin syarikat penerbangan yang ‘sakit’ ini,” katanya.

Rabu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan bersedia melepaskan pegangan “majoriti” dalam MAB berasaskan 2 syarat, iaitu identiti syarikat penerbangan itu dikekalkan dan tiada pemberhentian pekerja sedia ada ketika ini.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin.

Beliau berkata, semua cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan, sama ada daripada konsortium, usahawan dan syarikat, akan diteliti menerusi kajian menyeluruh, terutama mengenai kemampuan pihak yang ingin mengambil alih MAB.

Abdul Aziz dan Ismail turut mendesak pihak yang berminat dalam pengambilalihan MAB untuk benar-benar memahami syarikat penerbangan itu, dari segi latar belakang dan warganya, sebelum membuat sebarang cadangan atau rancangan strategik agar sejarah lama tidak berulang.

“Mereka mesti memikirkan setiap orang yang berkhidmat dengan Malaysia Airlines.

“Mereka (kakitangan) telah melalui begitu banyak langkah penyusunan semula. Biarkan perdana menteri membuat keputusan mengenai pihak bebas berkenaan.

“Hanya pihak yang sangat rapat dan berkaitan dengan industri penerbangan sahaja yang boleh mennguruskan syarikat penerbangan ini,” katanya.

Baru-baru ini, wartawan veteran, A Kadir Jasin mendakwa lembaga pengarah Khazanah menolak cadangan untuk menutup MAB.

Beliau juga dilaporkan berkata, 4 inisiatif pemulihaan oleh kerajaan dengan kos hampir RM25 bilion dengan pemberhentian 6,000 pekerja telah gagal.

Sebelum ini dilaporkan Malaysia Aviation Group, syarikat pegangan MAB, juga sedang merangka strategi baru untuk memulihkan syarikat itu.

Kerajaan turut terbuka kepada sebarang cadangan atau perkongsian luar, termasuk dari negara jiran seperti Singapore Airlines.