Bayar gaji kakitangan sebelum tutup syarikat penerbangan, kesatuan beritahu Mavcom

Lesen syarikat penerbangan yang gagal membayar gaji kakitangannya tidak harus diperbaharui kerana ia mendedahkan kru dan juruterbang kepada risiko. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pihak berkuasa persekutuan harus campur tangan bagi memastikan kakitangan dibayar gaji sebelum syarikat penerbangan bermasalah ditutup, kata Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) hari ini.

Kesatuan itu berkata, tindakan terbaru Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) membatalkan permit operasi sebuah syarikat penerbangan carter “sudah terlewat” kerana syarikat berkenaan dipercayai masih berhutang gaji 300 pekerjanya selama 3 bulan.

Dua pihak berkuasa penerbangan itu membatalkan Permit Perkhidmatan Udara dan Sijil Operator Udara syarikat berkenaan.

“Keadaan yang berlaku selepas syarikat penerbangan ini ditutup sukar diterima kerana mereka terlepas daripada hukuman di sisi undang-undang. Lebih buruk lagi, ribuan kakitangan syarikat tidak dibayar gaji yang tertunggak kerana syarikat diarah tutup,” kata Nufam dalam satu kenyataan kepada FMT.

Ia mendesak Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia supaya campur tangan sebelum syarikat penerbangan itu ditutup. Pihak berkuasa persekutuan juga harus membekukan aset syarikat bagi memastikan ia membayar gaji kakitangannya.

“Dalam banyak kes, majikan ini tidak mahu membayarnya dan akan terlepas daripada tindakan, menyebabkan pekerja terbiar tanpa pembelaan,” katanya.

Lesen syarikat penerbangan yang gagal membayar gaji kakitangan mereka tidak seharusnya diperbaharui, kata Nufam.

“Jika tidak, ia akan mendedahkan kru dan juruterbang kepada risiko sekiranya mereka terus beroperasi.”