Dzulkefly sahkan jangkitan malaria dalam kalangan Orang Asli di Pahang

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad hari ini mengesahkan penularan terbaru demam malaria dalam kalangan penduduk Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang.

“Kami pergi untuk mengesan kes aktif dan mendapati 11 Orang Asli di sana dijangkiti demam malaria,” katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau berkata, ketua pengarah kesihatan akan membuat kenyataan rasmi berhubung isu itu hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr Adeeba Kamarulzaman.

Beliau berkata, demam malaria jenis plasmodium vivax yang dikesan menjangkiti Orang Asli terbabit adalah lebih sederhana dan kurang mengancam nyawa berbanding jenis lain.

“Biasanya pesakit akan sembuh dengan cepat dan tidak perlu dirawat di hospital,” katanya, selain menambah bahawa rawatan anti-malaria selama 3 hari dan ubat-ubatan lain dijangka mencukupi untuk menyembuhkan pesakit.

Beliau juga berkata, penularan penyakit itu tidak membimbangkan, selain memberitahu bahawa penyakit malaria umumnya telah dihapuskan di negara ini, kecuali beberapa kes terpencil seperti yang berlaku di Kuala Lipis sekarang.