Guan Eng nafi arah pindahan wang lebih RM1 bilion daripada syarikat China

Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menafikan mengarahkan pindahan wang lebih RM1 bilion daripada akaun sebuah syarikat milik kerajaan China di Malaysia kepada syarikat milik kementerian itu.

“Saya mahu jelaskan bahawa Kementerian Kewangan dan saya tidak ada mengeluarkan arahan rampasan itu.

“Sekiranya ada arahan sedemikian, anda perlu rujuk kepada agensi penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita di Parlimen.

Dilaporkan sebelum ini bank antarabangsa HSBC diberitahu berdasarkan arahan kerajaan supaya memindahkan lebih RM1 bilion wang dalam akaun China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) di Malaysia kepada Suria Strategic Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Akhbar Straits Times menyifatkan rampasan dan pindahan dana oleh pihak berkuasa Malaysia itu sebagai “langkah luar jangkaan dalam amalan perbankan di Malaysia.”

Syarikat China terbabit merupakan kontraktor utama projek saluran paip sepanjang 660km di Pantai Barat semenanjung bernilai RM5.35 bilion serta projek saluran gas di Sabah bernilai RM4.06 bilion. Kedua-dua projek berkenaan dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Laporan itu menyebut, CPP mengesahkan bahawa dana berkenaan telah dipindahkan.

“CCP sentiasa mematuhi undang-undang Malaysia dan berasa bingung berhubung pindahan sepihak wang tersebut tanpa memaklumkannya kepada CCP.

HSBC bagaimanapun enggan memberi apa-apa komen.