Individu dakwa Kit Siang cadang tubuh PPBM perlu ke Tanjung Rambutan, sindir Dr M

Lim Kit Siang didakwa mencadangkan Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti Melayu sebelum pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir Najib Razak yang mendakwa veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan penubuhan PPBM untuk memecahbelahkan orang Melayu.

“Yalah, Lim Kit Siang adakan mesyuarat dengan semua pemimpin Melayu (untuk beritahu) adalah perlu pemimpin Melayu tubuh Bersatu (PPBM), maka kita pun kata ya, ya, ya.

“Kalau you nak percaya yang tu, you boleh percayalah…you ingat orang Melayu tak boleh fikir?

“Orang yang kata itu, saya ingat perlu pergi ke Tanjung Rambutan untuk otak dia diperiksa,” katanya secara sinis selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Utusan Malaysia pada Sabtu lalu melaporkan Najib mendakwa Lim mencadangkan penubuhan sebuah parti Melayu kepada Mahathir yang kemudiannya menubuhkan PPBM.

Ahli Parlimen Pekan itu dilaporkan berkata: “Dalam kepala DAP, Kit Siang hendak jatuhkan kerajaan Umno dan Barisan Nasional, pecah belahkan orang Melayu, peralatkan orang Melayu sendiri dan gunakan orang Melayu sebagai alat untuk menjatuhkan orang Melayu sendiri.”

Semalam, Lim mencabar Najib menamakan individu dalam dakwaannya yang turut menghadiri mesyuarat di mana beliau mencadangkan PPBM ditubuhkan untuk memecahbelahkan orang Melayu.