Jom ‘terbang’ di Sungai Congkak dengan Skytrex

Sg Congkak lokasi terbaru oleh Skytrex, mula beroperasi awal Julai lalu.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak dan cintakan keindahan alam, anda boleh mencuba satu lokasi baru yang terletak di Sungai Congkak, Hulu Langat, Selangor.

Ia lokasi ke-4 yang dibuka Skytrex dengan keunikan tersendiri, membawa konsep “bumi hijau” buat kali pertama, dan pastinya mampu menarik minat pengunjung khususnya golongan muda.

Istimewanya, Skytrex Sungai Congkak dikenali sebagai “Malaysia First Flying Fox Park by Skytrex” mempunyai lebih banyak elemen flying fox, lebih panjang berbanding cawangan lain, di samping keunikan Hutan Lipur Sungai Congkak yang tenang, kehijauannya terserlah serta tarikan Sungai Congkak itu sendiri yang mengalir terus di bawah laluan rintangan aktiviti.

Aktiviti dibuka kepada warganegara serta pelancong asing, bermula 9 pagi sehingga 3.30 petang.
Sesi penerangan akan diberi sebelum memulakan permainan tentang kegunaan peralatan yang dipakaikan pada badan pemain.

Dengan “flying fox” terpanjang iaitu 110m, anda kini boleh “terbang” di udara, malah anda juga boleh jerit sekuat-kuatnya bagi melepaskan stres di tempat kerja atau sebarang tekanan yang anda hadapi.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Skytrex Selangor Sdn Bhd, Raja Azriq Suhaimi, terdapat 3 pakej menarik disediakan untuk pengunjung iaitu River Thrill, Rapid Extreme dan Double Dare.

Setiap pakej ini mempunyai 25 halangan berbeza dan ia mengambil masa sejam setengah untuk melengkapkan keseluruhan halangan yang ada.

Ketua Pegawai Pemasaran, Raja Azriq Suhaimi berkata Skytrex Sungai Congkak berlainan dengan lokasi lain kerana kebanyakan setiap halangan (obstacle) yang dilalui pemain akan merentasi sungai.

“Untuk 3 pakej ini, kita ada 2 litar berbeza mengikut pakej yang anda inginkan, kita ada River Thrill, ia bukan dikira pakej asas, tetapi pertengahan, jadi halangannya pun kira agak mencabar. Kemudian kita ada Rapid Extreme, iaitu yang lebih mencabar, ada 25 halangan.

“Jika anda mahukan kedua-duanya sekali pun boleh, ia mengambil masa 2 jam 30 minit untuk sampai ke garisan penamat,” katanya kepada FMT.

Skytrex Adventure terkenal dalam mengetengahkan konsep keselamatan, rekreasi, mesra alam dan pendidikan, sekaligus mengadaptasikan idea tersebut di Sungai Congkak.

Sejak mula beroperasi di Shah Alam 12 tahun lalu, Skytrex membuka 3 lagi cawangan iaitu di Langkawi, Melaka dan Sungai Congkak yang terbaru.

Jurulatih akan menunjukkan cara menggunakan beberapa alatan ketika sampai di setiap halangan.

“Kita baru sahaja mulakan operasi di Sungai Congkak 1 Julai lalu, pasti di sini banyak perbezaannya, iaitu pemandangan yang hijau serta sungai yang mengalir.

“Tentang halangan pula, ia berbeza mengikut keunikan setiap cawangan yang kita ada, tapi di Sungai Congkak, kita mempunyai banyak flying fox, kerana kita nak pengunjung merasai kenikmatan ketika terbang merentasi sungai itu,” katanya lagi.

Setelah penerangan diberi, anda diberi masa untuk mencuba sendiri alatan tersebut sebelum pergi ke halangan pertama.

Antara halangan lain yang terdapat di Sungai Congkak seperti Ladder up, Monkey Bar, Hug Pipe, Fish Bone dan Step Bridge.

Bagi mereka yang ingin mencuba, anda boleh membeli tiket secara online di laman web Skytrex www.skytrex-adventure.com bagi mendapatkan harga lebih murah yang ditawarkan sehingga 31 Ogos ini sebagai harga pengenalan.

“Anda boleh memperoleh pakej serendah RM45 bagi pakej River Thrill, dan RM55 bagi Rapid Extreme.

“Bagi Double Dare pula anda boleh mendapatkannya dengan harga promosi RM80 sahaja.”

Kini Skytrex menawarkan harga promosi, anda boleh melayari laman web Skytrex Sungai Congkak untuk membeli tiket secara online.

Jadi berikan masa untuk diri anda, relaks dengan bunyi deruan air sungai, dan nikmati aktiviti santai ini sepuasnya.

Jika ada masa terluang, anda juga boleh berehat sebentar dan mandi di Sungai Congkak!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]