Kerajaan berhak pindah RM1 bilion dari akaun kontraktor China, kata PM
Dr Mahathir Mohamad berkata, wang itu dibayar untuk 80% kerja bagi projek saluran paip, tetapi hanya 13% kerja diselesaikan.
PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mempunyai hak untuk mengarahkan lebih RM1 bilion dipindahkan dari akaun bank di Malaysia milik kontraktor China ke sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan.
Perdana menteri berkata, kerajaan menuntut kembali wang itu bagi kerja yang belum disiapkan memandangkan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) sudah dibatalkan tahun lalu.
“Apa yang berlaku ialah ada cadangan untuk membina saluran paip ini. Saya difahamkan wang bagi 80% kerja saluran paip sudah dibayar, tetapi kerja disiapkan hanya 13%.
“Jadi, kerajaan berhak mendapatkan kembali wang itu.
“Kita ambil semula wang apabila kerja tidak siap,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Sabtu lalu, akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan HSBC pada awal bulan ini diminta memindahkan AS$243.25 juta dalam akaun bank China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) di Malaysia kepada Suria Strategic Resources Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.
Syarikat milik kerajaan China itu ialah kontraktor utama bagi MPP sepanjang 660km dari Melaka, Port Dickson ke Jitra di Kedah yang berharga RM5.35 bilion, manakala TSGP bernilai RM4.06 bilion akan dibina dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau di Sabah.
Tahun lalu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan berkata, kerajaan cuba mendapatkan wang yang sudah dibayar kepada kontraktor TSGP.
Kerajaan PH pada tahun lalu mempertikaikan kira-kira RM8.3 bilion atau 88% daripada nilai kontrak RM9.41 bilion, dibayar kerajaan terdahulu melalui Suria Strategic Resources kepada kontraktor itu, sedangkan kemajuan projek hanya 13%.
Hari ini, Mahathir berkata, beliau yang mengarahkan pemindahan wang itu dari akaun bank syarikat China terbabit.
“Saya (sebagai) perdana menteri bertanggungjawab atas prinsip apabila satu kontrak diberikan dan kontraktor tidak menggunakan wang yang diberikan untuk membina seluruh projek (dan) baki projek tidak disiapkan, maka kerajaan berhak menuntut kembali wang itu.”
Beliau turut menafikan tindakan terbaru Putrajaya itu akan menyebabkan Beijing marah kerana kerajaan tidak menuntut wang bagi kerja yang sudah disiapkan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menafikan beliau mengarahkan pindahan lebih RM1 bilion dari akaun CPP kepada syarikat milik kementeriannya.