Kertas Putih Pertahanan dibentang sesi Parlimen akan datang, kata Mat Sabu

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

KUALA LUMPUR: Kertas Putih Pertahanan akan dibentangkan pada sesi persidangan Parlimen akan datang, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Kita akan bentang pada sesi seterusnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Mohamad dilaporkan berkata dokumen itu dirangka dengan mengambil kira aspek jangka pendek dan panjang dasar pertahanan negara, sekali gus memberi fahaman secara menyeluruh kepada rakyat mengenai hala tuju kementerian tersebut.

Cadangan Kertas Putih Pertahanan negara pertama kali dibuat untuk menunjukkan komitmen kerajaan dalam dasar pertahanan negara dalam dekad akan datang.

Pada perkembangan lain, Mohamad juga mengumumkan kerajaan dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan hospital di kem pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh demi keselesaan penghuninya di situ.

Jelas beliau, Kementerian Pertahanan akan bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan dalam usaha menaiktaraf kebajikan dan fasiliti hospital tersebut.

“Mungkin kita akan minta lebih ramai doktor perubatan di sana untuk keselesaan semua,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sedang mempertimbangkan untuk menyambung perkhidmatan perubatan itu yang dijangka tamat pada 31 Disember ini.

Katanya, kementeriannya juga sedang berusaha untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan Bangladesh dalam usaha melanjutkan operasi hospital tersebut.