Laporan audit saran kerajaan kaji Skim Latihan 1Malaysia

Jabatan Audit berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan perlu mengkaji semula mekanisme pendaftaran, kelulusan pengurangan peserta dan pemantauan syarikat yang melaksanakan SL1M berdasarkan kontrak perolehan kerajaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan disaran mengkaji semula struktur tadbir program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang didapati tidak dilaksanakan dengan cekap.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 berkata, program itu didapati mempunyai kelemahan dari segi pengurusan kewangan dan perolehan, pendaftaran serta pemantauan terhadap syarikat yang mendapat kontrak kerajaan.

“Kementerian Pembangunan Usahawan perlu memastikan struktur tadbir urus SL1M dikaji semula dan dimantapkan, meliputi aspek kawalan dan pemantauan supaya wujud elemen semak dan imbang,” kata laporan itu.

SL1M yang diperkenalkan pada 2011 terletak di bawah Unit Perancang Ekonomi (UPE) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Sekyen Pembangunan Modal Insan (SPMI) bersama Bank Negara Malaysia dan syarikat kerajaan.

Disebabkan respons positif, maka SL1M fasa 2 diperkenalkan pada 2012, namun pengurusannya diserahkan kepada 2 pegawai pinjaman BNM dan kemudian dinamakan Sekretariat SL1M.

Tetapi, pencapaian sebenar graduan SL1M tidak dapat diukur dengan tepat kerana tiada maklumat lengkap disediakan Sekretariat SL1M.

Sekretariat itu juga tidak membuat sebarang mekanisme pemantauan bagi memastikan syarikat yang mendapat kontrak perolehan kerajaan melaksanakan SL1M mengikut syarat.

“Kementerian Pembangunan Usahawan perlu mengkaji semula mekanisme pendaftaran, kelulusan pengurangan peserta dan pemantauan syarikat yang melaksanakan SL1M berdasarkan kontrak perolehan kerajaan.”

Menurut laporan itu, Kementerian Pembangunan Usahawan perlu memastikan Sekretariat SL1M mewujudkan mekanisme penilaian “outcome” dan melaksanakannya dalam masa terdekat melihat pencapaian terhadap peruntukan yang dibelanjakan.

Jabatan audit turut mendapati tiada perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) antara UPE, JPM dan Talentcorp yang menjelaskan peranan Talentcorp sebagai ejen pembayar yang menguruskan peruntukan SL1M.

Laporan itu turut mendapati tiada penyata disediakan Talentcorp bagi pelaburan RM9 juta pada 2017 dan RM8 juta pada 2018.

“Ini menyebabkan pihak audit tidak dapat mengesahkan perbezaan baki akhir RM5.69 juta bagi 2 tahun itu,” menurut laporan itu.