Maszlee: PTPTN kutip bayaran balik RM6.23 bilion dari 2013 hingga Mei tahun ini

Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip bayaran balik berjumlah RM6.23 bilion daripada 1.13 juta orang peminjam bagi tempoh 2013 hingga Mei 2019.

“Bagi julat umur 20 hingga 29, seramai 642,410 peminjam membuat bayaran balik sebanyak 3,330,319,281.96 sen.

“Bagi julat umur 30 hingga 39, seramai 449,403 peminjam telah membuat bayaran balik sebanyak 2, 652,965,343.18 sen,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu bagi julat umur 40 hingga 49, seramai 33,047 peminjam membuat bayaran balik sebanyak 228,441,538.21 sen.

“Bagi julat umur 50 hingga 59, seramai 2,531 peminjam telah membuat bayaran balik sebanyak 16, 148,892.77 sen.

“Bagi julat umur 60 dan ke atas, seramai 80 peminjam membuat bayaran balik sebanyak 367,234.42 sen,” katanya.

Maszlee berkata, berhubung strategi dan dasar baru bayaran balik PTPTN, satu kertas konsultasi rakyat (KKR) telah disediakan dan dipaparkan untuk cadangan serta pandangan orang awam bermula 16 Mei sehingga 13 Jun lepas.

Katanya, dapatan daripada KKR akan diperhalusi oleh satu Panel Penasihat Khas bagi mengenal pasti cadangan terbaik yang akan digunakan sebagai mekanisme baru pembayaran balik PTPTN,. Ia seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan sekitar Ogos depan.