Pembangkang mahu Guan Eng dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen

Ketua Pembangkan Ismail Sabri Yaakob berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR: Pembangkang yang diketuai Ismail Sabri Yaakob mendesak supaya Dewan Rakyat merujukkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Dewan 36 (12) kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan di dalam Dewan Rakyat.

Ismail berkata, berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini, ternyata tidak ada kehilangan wang atau wang “dirompak” oleh kerajaan lepas seperti didakwa oleh Lim sebelum ini.

Cadangan itu disokong oleh beberapa pemimpin pembangkang seperti ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Wee Kaa Siong (BN-Air Hitam).

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, sebaiknya sebarang usul yang hendak dicadangkan perlu dibuat melalui surat kepada Speaker.

Katanya, sebarang keputusan akan dimaklumkan dan dibawa kepada pertimbangan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Khairy selepas itu mencelah bahawa satu perbincangan perlu disegerakan mengenai kenyataan Lim itu dan perlu dibahaskan pada sesi Parlimen kali ini, bukannya sesi akan datang.

Nga berkata, adalah lebih adil jika satu surat dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat untuk diteliti.

Sebelum itu, Pengerusi PAC, Noraini Ahmad ketika membentangkan laporan jawatankuasa itu hari ini berkata, tidak berlaku kehilangan wang dalam bayaran balik kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sebaliknya, kata beliau, undang-undang yang menetapkan supaya wang dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST telah tidak dipatuhi, apabila kerajaan memasukkan semua hasil kutipan ke dalam Akaun Hasil Disatukan terlebih dahulu.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan tabung amanah pembayaran balik GST kekurangan hampir RM18 bilion, dan hanya kira-kira RM1.5 bilion masih berada dalam akaun itu.

Lim berkata, sebanyak 121,429 syarikat dan individu belum menerima bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak 2015, dan ramai bertanya mengapa bayaran lewat.

Beliau berkata, bekas menteri kewangan Najib Razak mempunyai kuasa untuk menghentikan pemindahan wang sebanyak RM19.25 bilion itu ke akaun amanah untuk bayaran balik GST daripada RM82.9 bilion yang diminta oleh Jabatan Kastam.

Najib bagaimanapun menafikan tuduhan itu dengan berkata, wang berkenaan dimasukkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan, yang akan dibayar kepada dana amanah bagi tujuan pembayaran balik GST secara berkala.

Wujud pecah amanah

Dalam sidang media berasingan, barisan ahli Parlimen kerajaan sebaliknya yakin wujud unsur pecah amanah dalam pengurusan kutipan hasil GST.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mogin berkata wang yang dikutip mesti disalurkan di tabung amanah bukannya ke tabung yang disatukan seperti yang dibentangkan laporan PAC hari ini.

“Wang disatukan ini pula digunakan tanpa dibentangkan di Parlimen. Apabila wang ini hendak digunakan, perlulah mendapat persetujuan di Parlimen.

“Malah mereka ambil duit ini dan gunakan wang itu,” katanya kepada media di lobi Parlimen sambil menambah tindakan itu sebagai gejala pecah amanah yang dibuat oleh pimpinan terdahulu.