Pemberi maklumat saya sudah tampil, kata Najib selepas dicabar Kit Siang

Hamidah Osman berkata, beliau turut menghadiri mesyuarat di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 2016, di mana Lim Kit Siang mencadangkan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti Melayu baru. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Najib Razak secara tidak langsung mengesahkan pendedahan bekas naib presiden PPBM, Hamidah Osman yang mengakui beliau memberi maklumat kepadanya berhubung tindakan Lim Kit Siang mencadangkan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan sebuah parti Melayu baru.

“Sebelum saya nak sahut cabaran MenHEN, pemberi maklumat sudah tampil ke depan pulak,” tulisnya di Facebook malam ini merujuk Lim yang lantang mengkritiknya sebagai “Menteri Hal Ehwal Najib” atau singkatannya “MenHEN”.

Bekas perdana menteri itu turut berkongsi pautan kepada laporan Utusan Online mengenai pengakuan Hamidah sebagai pemberi maklumatnya mengenai cadangan Lim untuk Mahathir menubuhkan PPBM.

Akhbar itu hari ini memetik Hamidah sebagai berkata, beliau turut hadir dalam mesyuarat diadakan Mahathir di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana pada 2016.

Mahathir yang ketika itu sudah meninggalkan Umno dan bekerjasama dengan beberapa ahli politik dan pemimpin masyarakat untuk menggerakkan Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib melepaskan jawatan perdana menteri.

Hamidah dilaporkan berkata, cadangan itu timbul kerana Deklarasi Rakyat gagal mendapat sokongan rakyat.

“Saya hadir dan Kit Siang juga ada. Dalam perbincangan kami, di depan saya, Kit Siang sendiri mencadangkan kepada Mahathir agar menubuhkan sebuah parti Melayu macam Umno bagi mendapatkan 10% undi Umno, yang mana jika itu berjaya dilakukan, Pakatan Harapan akan dapat menubuhkan sebuah kerajaan.

“Jadi, kalau hendak tanya siapa yang memaklumkan pada Najib, saya dengan ini memberi pengakuan sayalah orang yang hadir ketika perkara itu dibincangkan antara Mahathir dan Kit Siang,” katanya dipetik Utusan Online dalam sidang akhbar di Ipoh hari ini.

Semalam, Lim mencabar Najib menamakan individu dalam dakwaannya turut menghadiri mesyuarat di mana DAP mencadangkan PPBM ditubuhkan untuk memecahbelahkan orang Melayu.

Hamidah berkata, beliau tidak terkejut jika Lim menafikan pendedahannya.

“Kit Siang memberi kenyataan dia tidak pernah menuduh Mahathir sebagai seorang yang korup, sedangkan kita tahu sebelum tertubuhnya Pakatan Harapan, Mahathirlah dikatakan sebagai bapa korupsi,” katanya sambil menambah beliau akan bertanggungjawab terhadap kenyataannya.