Polis Sabah dakwa 3 maut terkena bom ikan mangsa pembunuhan terancang

2 penyelam dari China dan jurulatih selaman terbunuh dipercayai terkena bom ikan pada 5 Julai lalu. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Polis Sabah hari ini mengesahkan mereka sedang menyiasat insiden pengeboman ikan yang membunuh 3 penyelam di Semporna sebagai pembunuhan terancang.

Timbalan Ketua Polis Sabah Zaini Jass berkata pihaknya mengklasifikasikan semula kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Ya, ada niat untuk membunuh, sebab itulah siasatan kami kini di bawah Seksyen 302.

“Bagaimanapun, kita belum lagi memastikan identiti individu atau kumpulan yang melakukannya. Inilah yang sedang kita siasat buat masa ini,” kata Zaini kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Kepayan.

Ketua Polis Sabah, Omar Mammah sebelum ini tidak menolak kemungkinan pembunuhan terancang dalam kejadian pada 5 Julai itu, yang awalnya dianggap sebagai kemalangan yang melibatkan bom ikan.

Dua penyelam dari China – Zhao Zhong dan Xu Yingjie, kedua-dua berusia 26 tahun – dan jurulatih selaman warga tempatan, Ab Zainal Abdu, 30, terbunuh di Pulau Kalapuan di Semporna.

Omar juga mendedahkan Zainal menerima ancaman maut tahun lalu, menyebabkan jurulatih itu membuat laporan polis.

Polis menahan seorang pengendali bot berusia 24 tahun dan pembantunya, 23, selepas kejadian itu. Kedua-duanya ada kaitan dengan Zainal.

Polis kemudian menahan 10 lagi individu, termasuk gipsi laut untuk disoal siasat.

Hasil bedah terhadap penyelam itu mendedahkan mereka meninggal akibat kecederaan yang dialami dalam letupan tersebut.