Polis tahan buruh Indonesia cabul kanak-kanak di Rawang

Suspek yang mencabul kanak-kanak perempuan 9 tahun disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan warga Indonesia ditahan kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun di sebuah kedai serbaneka di pusat bandar Country Homes, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak, Samsor Maarof berkata pihaknya menerima maklumat pada Jumaat lepas, selepas pengadu diberitahu isterinya bahawa anak mereka dipeluk daripada belakang oleh seorang lelaki, sebelum suspek melarikan diri.

“Ekoran kejadian itu, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan Country Homes. Polis turut merampas pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian. Suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi.

Baru-baru ini, tular video di media sosial seorang lelaki dipercayai mencabul seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah kedai serbaneka di pusat bandar berkenaan.