Tawaran Maju Holdings ambil alih Plus diteliti, kata Baru

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata, kerajaan tidak menetapkan jangka masa ke atas rundingan ambil alih Plus.

GEORGE TOWN: Kementerian Kerja Raya hari ini mengesahkan sudah menerimatawaran rasmi daripada Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) untuk mnegambil alih PLUS Malaysia Bhd (Plus).

Menterinya Baru Bian berkata, buat masa ini pihaknya sedang meneliti tawaran itu sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Kita sudah menerima kertas tawaran daripada Maju Holdings dan akan meneliti semua itu. Selepas itu kita akan berkongsi dengan Kabinet dan pemberita mengenai tawaran itu.

“Tidak ada syarikat yang secara rasmi mengajukan tawaran selain daripada Maju Holdings. Perkara ini belum dibawa kepada Kabinet dan masih di peringkat kementerian saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Konsesi Lebuh Raya 2019 di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung syarikat berkenaan yang mengemukakan tawaran baru untuk mengambil alih Plus.

Maju Holdings yang dikuasai ahli perniagaan Abu Sahid Mohamed dilaporkan pernah membuat tawaran bernilai RM36 bilion untuk mengambil alih Plus pada 2017.

Kementerian Kewangan ketika itu berkata, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk melepaskan pegangan dalam Plus kepada Mau Holdings, selain memandang serius kedudukan kewangan serta kemampuan entiti persendirian seperti Maju Holdings untuk membiayai cadangan pengambilalihan mereka.

Ketika ditanya sama ada kementerian menetapkan satu jangka masa untuk rundingan pengambilalihan itu, Baru berkata, tiada jangka masa ditetapkan berhubung perkara itu.

Sebaliknya kementerian kini memberi tumpuan untuk menjalankan kajian holistik dalam menentukan hala tuju tol di lebuh raya seluruh negara.

“Itu yang nak kita habiskan dulu. Ini sudah diberikan kepada setiap kementerian untuk ulasan mereka dan akan dikemukaan kepada Kabinet dalam masa terdekat,” katanya.