300 nelayan berhimpun di Parlimen, bantah salah guna lesen bot laut dalam

Sekumpulan 300 nelayan Pantai Timur mengangkat kain rentang membantah tindakan penyalahgunaan lesen terpakai nelayan tempatan.

KUALA LUMPUR: Lebih 300 nelayan Pantai Timur berhimpun di Parlimen bagi membantah tindakan penyalahgunaan lesen terpakai nelayan tempatan selepas pengusaha tempatan mendapat kelulusan membeli bot terpakai dari luar negara.

Menurut memorandum ditujukan kepada perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertanian dan industri asas tani, mereka kesal usaha murni kerajaan memberi lesen bot laut dalam kepada pengusaha tempatan tetapi disalah gunakan.

“Pemberian lesen bot laut dalam kepada pengusaha tempatan disalahguna mereka demi mendapatkan keuntungan secara mudah dan singkat melalui kerjasama dengan pemilik bot luar negara.

“Nelayan tradisi tempatan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan miskin menerima padah disebabkan kemasukan bot-bot laut terpakai tersebut.

“Mereka bertindak rakus beroperasi menangkap ikan sehingga tepi pantai, sekaligus menjejaskan sumber mata pencarian nelayan tradisi,” kata memorandum tersebut.

Wakil nelayan dari Kelantan, Nik Mohd Kamal Husin sewaktu ditemui berkata, demonstrasi itu diadakan bagi mendapatkan perhatian Putrajaya mengenai masalah yang mereka hadapi.

Nelayan laut dalam yang mengadakan protes berdiri sepanjang laluan masuk ke Parlimen.

“Kami datang untuk meminta kerajaan mengambil berat luahan kami, keadaan laut kami semakin terancam oleh nelayan asing dan nelayan asing berdaftar terutama nelayan Vietnam.

“Nelayan Vietnam ini pekerjaannya terlampau teruk sehingga merosakkan ekosistem lautan kita dan berkemungkinan merosakkan sistem akuakultur, hingga anak cucu kita di depan hari mungkin tak dapat mencari rezeki lagi di lautan.

“Semenjak kerajaan beri permit untuk membenarkan nelayan bot laut dalam menggunakan kru Vietnam, boleh dikatakan zon pantai timur semakin teruk terancam,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kerajaan tidak pernah menutup permohonan nelayan memiliki lesen bot C.

Malah menurut Faiz, kerajaan sentiasa memberi galakan untuk nelayan tradisional memperluaskan kawasan penangkapan ikan.