Bapa Adib failkan permohonan komital terhadap peguam negara

Muhammad Adib Mohd Kassim.

SHAH ALAM: Bapa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim hari ini, memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas berhubung inkues kematian anggota bomba itu.

Permohonan ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates.

Perkara tersebut dimaklumkan peguam yang mewakili keluarga Adib, Kamaruzaman A Wahab kepada Koroner Rofiah Mohamad ketika prosiding inkues kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner.

“Permohonan itu sudah difailkan pagi tadi,” kata Kamaruzaman pada hari ke-40 prosiding inkues berkenaan.

Sementara itu, peguam, Mohd Zubir ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, Tommy membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.

“Dalam afidavit tersebut, Tommy menyatakan kematian Adib bukanlah dipukul oleh mana-mana orang (sedangkan punca kematian belum diketahui),” katanya.

Beliau berkata antara kandungan permohonan ex-parte itu menyatakan Tommy cuba untuk menindas peguam Syazlin Mansor daripada menjalankan tugas sebagai peguam bela dan peguam cara serta pegawai mahkamah yang sah mewakili kepentingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, bomba dan keluarga Adib.

Mohd Zubir.

Zubir berkata pihaknya menghantar salinan notis permohonan itu kepada wakil Tommy, Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin pada 12.11 tengah hari tadi.

Bagaimanapun, Rofiah berkata pihaknya akan meneliti permohonan ex-parte tersebut, esok.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, saksi inkues ke-30, pensyarah kanan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amir Radzi Abd Ghani dipanggil ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung pengiraan daya hentaman ke atas bahagian dada Adib yang mengakibatkan kecederaan di bahagian itu.

Adib, 24, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis di Institut Jantung Negara.