Fuziah yakin hibah TH lebih tinggi pada masa akan datang

KUALA LUMPUR: Jumlah pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji (TH) mungkin akan lebih tinggi pada masa akan datang, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Katanya, ini berdasarkan prestasi semasa TH yang semakin baik dan mengukuh.

“Selepas kita adakan plan pemulihan iaitu masuk ke dalam syarikat tujuan khas (SPV), kita tinggalkan aset yang sihat di dalam TH kita sudah pun melihat peningkatan keuntungan.

“Saya yakin dengan peningkatan keuntungan tersebut pada tahun akan datang ia akan menjanjikan jumlah hibah yang tinggi,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) tentang mekanisme dan jaminan memastikan hibah TH melebihi 1.25% pada tahun ke depan.

Fuziah menjelaskan pemberian hibah perlu pertimbangkan 2 perkara iaitu aset mesti melebihi liabiliti dan TH membuat keuntungan yang mencukupi.

“Kedua-dua syarat itu mesti dipenuhi untuk memberi hibah,” katanya.

Pada 4 April lalu, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25% membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.

Pengumuman hibah itu paling rendah pernah dilakukan kerajaan dan ia mendapat kritikan banyak pihak.

Fuziah hari ini percaya keyakinan pendeposit akan terus kekal dan utuh, melihat kepada pertambahan bilangan pendeposit baru dan jumlah simpanan yang konsisten selepas hibah 2018 diumumkan.

“Pendeposit baru bagi tempoh Januari 2019 sehingga Mei 2019 adalah sebanyak 133 ribu orang dengan jumlah deposit RM83 juta,” katanya.

Katanya, bagi tempoh April sehingga Jun 2019, TH mencatatkan pertambahan pendeposit baru melebihi 46,000 orang.

“Selain itu tiada sebarang pengeluaran yang luar biasa sehingga Jun 2019. Ini menggambarkan keyakinan pendeposit terus konsisten terhadap TH.

“Bagi urusan simpanan dan pengeluaran, trend yang sama dilihat bagi tahun sebelum ini iaitu pengeluaran lebih tinggi sebaik sahaja pengumuman hibah dibuat,” katanya.

Jelasnya lagi, jumlah simpanan terkumpul pendeposit pada 4 April 2019 berjumlah RM74.1 bilion, sementara simpanan terkumpul pendeposit pada 31 Mei 2019 berjumlah RM71.1 bilion.

“Pengeluaran yang tinggi ini adalah menjadi kebiasaan seperti tahun-tahun sebelum ini selepas pengumuman hibah diisytiharkan,” katanya.