Gesa pemimpin disiasat cuti sementara ‘double standard’, kata Zuraida
Zuraida Kamaruddin berkata orang-orang yang dulunya pertahankan Anwar Ibrahim kini bercakap tentang kesahihan video seks.
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan seruan partinya meminta pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku bercuti sementara sehingga siasatan selesai sebagai “double standard”.
Zuraida berkata segelintir pemimpin partinya dilihat mendahului siasatan polis, dan mempersoalkan kenapa parti yang bersatu ketika berdepan video seks menyasarkan Presiden Anwar Ibrahim tidak boleh bersatu apabila ada video menyasarkan Timbalan Presiden Azmin Ali.
“Ketika polis sedang meneliti dalang disebalik kes itu, nampaknya ada tanda-tanda panik di dalam kalangan tertentu.
“Video yang sama pernah disebarkan terhadap Anwar, dan kita bersatu padu mengkritiknya sebagai konspirasi politik dan politik kotor.
“Sekarang, orang-orang yang dengan pendirian itu memberi kepercayaan kepada politik kotor dengan bercakap secara memihak tentang kesahihan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin yang berkata cuti sementara penting bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin-pemimpin berkenaan tidak cuba berselindung sebalik jawatan tinggi atau kedudukan dalam parti.
“Apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai,” katanya, sebulan selepas video seks sejenis yang menyasarkan Azmin tersebar.
Zuraida mengingatkan seluruh pimpinan parti menyokong Anwar ketika beliau diserang dengan tuduhan video seks beberapa tahun lalu.
“Kami tidak membuat panggilan sebegitu apabila video Anwar telah disebarkan. Kita semua, termasuk Azmin Ali, berdiri teguh dengan Anwar pada masa itu,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz menggemparkan negara dengan pengakuan beliau terbabit dalam klip video seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan, Sabah, bulan lalu.
Haziq menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.
Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu yang disifatkannya komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Susulan itu, Haziq ditahan dan disiasat atas 4 kesalahan, termasuk melakukan hubungan seks di luar tabii dan mengedar bahan lucah.