
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius Laporan Ketua Audit Negara bahawa wujud manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya ambil maklum mengenai laporan dikeluarkan Jabatan Audit Negara dan memberi jaminan akan mengambil tindakan susulan.
“Saya ambil perhatian serius mengenai perkara itu dan akan berbincang dengan ketua pengarah Imigresen mengenai laporan dikeluarkan itu. Kita akan meneliti lanjut perkara itu dan apa tindakan susulan.
“Kita akan perbaiki langkah dan atasi kebocoran serta salah guna kuasa yang berlaku. Kita pandang berat perkara itu,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.
Berdasarkan laporan audit, wujud manipulasi pada sistem MyIMMs, yang mana kuota diwujudkan kepada 123 syarikat untuk membawa pekerja asing merupakan kelulusan palsu.
Analisis laporan audit juga mendapati seramai 21,378 pekerja asing daripada 32,424 kuota yang diwujudkan secara tidak teratur, mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Laporan itu berkata, bagi tujuan pengesahan kuota dan bayaran levi kali pertama, data sistem MyIMMs dianalisis bagi tempoh 2016 hingga 2018.
Hasil analisis mendapati 32,424 kuota pekerja asing yang diwujud dan diluluskan kepada 123 majikan serta bayaran levi kali pertama berjumlah RM40.79 juta dilakukan secara tidak teratur dan meragukan.