Laporan audit: SKMM belanja lebih RM12 juta bagi 12 program CSR
Laporan Ketua Audit Negara 2018 berkata, wang itu antaranya untuk membeli 50,000 naskhah buku mengenai Najib Razak dan rumah terbuka Parlimen Hulu Terengganu.
KUALA LUMPUR: Perbelanjaan Kumpulan Wang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diurus secara tidak cekap dan berkesan, khususnya berkaitan perbelanjaan di bawah arahan menteri dalam kerajaan terdahulu.
Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dikeluarkan pada Isnin mendapati walaupun Akta SKMM membenarkan arahan menteri ke atas sesuatu perbelanjaan, namun perbelanjaan itu didapati tidak selaras aktiviti utama SKMM sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini.
Ini termasuk perbelanjaan bagi 12 program tanggungjawab sosial korporat SKMM sebanyak RM12.81 juta di bawah arahan menteri.
Antaranya untuk membeli 50,000 naskhah buku mengenai Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak yang bertajuk “Predictive Analytics on Sungai Besar by-election” dan rumah terbuka Parlimen Hulu Terengganu, menurut laporan audit ke atas penyata kewangan SKMM bagi tahun berakhir 31 Disember 2015, 2016 dan 2017.
Laporan itu turut menyentuh pelantikan 9 pegawai khas menteri dan timbalan menteri yang dilantik pada 2016 hingga Jun 2018.
“Pelantikan pegawai khas ini tidak disokong dengan perincian yang jelas mengenai skop dan tanggungjawab pegawai dilantik serta kaitannya dengan fungsi dan peranan SKMM.”
Menurut laporan itu, RM1.22 juta dibayar daripada Kumpulan Wang SKMM bagi tempoh sama kepada 9 pegawai itu yang meliputi gaji, insentif prestasi dan perayaan serta elaun kerja lebih masa.
Justeru, laporan itu mengemukakan syor supaya sebarang permohonan yang memerlukan kelulusan menteri atau pengerusi perlu dimaklumkan kepada anggota SKMM dan diluluskan di peringkat anggota SKMM sebelum dikemukakan kepada menteri.
“Bagi memantapkan peranan anggota SKMM, ‘Green Book – Enhancing Board Effectiveness’ perlu dijadikan panduan dan langkah kawalan dalaman bagi memastikan tadbir urus kewangan baik dapat dilaksanakan dalam organisasi.”
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Laporan itu turut mencadangkan SKMM mengkaji semula peruntukan akta berkaitan kuasa menteri bagi meningkatkan tadbir urus dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan di SKMM.