Laporan PAC selari dengan kenyataan saya, kata Guan Eng

Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menyifatkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkenaan bayaran balik GST selari dengan kenyataannya Ogos tahun lalu.

Lim menjelaskan bahasa yang digunakan PAC dalam laporan berkenaan bayaran balik GST itu mempunyai makna yang sama dengan kenyataannya, walaupun ia tidak menggunakan istilah “rompak”.

Beliau memberikan contoh, peruntukan yang diberikan kepada suatu kementerian mestilah digunakan bagi tujuan yang dinyatakan.

“Sekiranya ia digunakan untuk tujuan lain, itu adalah istilah sebegitu. Sudah tentu PAC akan gunakan apa yang saya sebut perkataan-perkataan yang mungkin selaras dengan budaya dan adat Parlimen.

“Tetapi maksudnya nyata sekali. Kalau kita lihat apa yang dikeluarkan Peguam Negara Tommy Thomas pun sama,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Terdahulu, PAC mengesahkan tiada kehilangan wang dalam kutipan hasil GST, tetapi duit tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti yang ditetapkan undang-undang.

Pengerusi Noraini Ahmad berkata wang itu digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Perdana menteri ketika itu, Najib Razak berkata duit itu dimasukkan sepenuhnya ke Akaun Disatukan dulu kerana jumlah bayaran balik belum diketahui, dan akan diagihkan kemudian bergantung kepada kesahihan tuntutan.

Pada Ogos, Lim mendedahkan tabung amanah pembayaran balik GST kekurangan hampir RM18 bilion, di mana hanya kira-kira RM1.5 bilion masih berada dalam akaun itu.

Lim hari ini berkata dia menghormati laporan PAC itu walaupun ia tidak menggunakan perkataan “rompak” yang digunakannya di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Saya hormat keputusan PAC. Kalau lihat dalam rumusan dan syor PAC, mereka tidak sentuh perkara ini. Tetapi, sudah tentu pembangkang hendak sentuh dan bangkitkan. Kalau dia hendak ungkit, kita akan lawan,” katanya.

Ditanya mengenai hasrat pembangkang merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan Dewan Rakyat, Lim menepisnya sebagai “permainan”.

“Dia hendak alih perhatian kerana perbicaraan Najib. Juga tentangan beberapa pemimpin Umno terhadap lantikan Najib sebagai pengerusi penasihat Barisan Nasional.

“Namun apa yang penting, wang sepatutnya dikembalikan kepada pembayar cukai tetap akan dikembalikan kepada mereka,” katanya.