PAS tidak selera bergabung dengan PH, kata Hadi

Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu tidak ingin bergabung dengan Pakatan Harapan, walaupun dipelawa oleh pemimpin-pemimpin gabungan itu, termasuk Naib Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir.

“Tiada selera, cukup itu sahaja,” kata ahli Parlimen Marang itu kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Mukhriz sebelum ini membuka pintu PH kepada PAS demi penyatuan umat Islam. Beliau juga menteri besar Kedah, di mana PH menguasai 19 DUN, PAS 15 DUN dan Barisan Nasional 2 DUN, menjadikan perbezaan antara pemerintah dan pembangkang hanya 2 kerusi.

PAS bagaimanapun optimis dengan kerjasama bersama BN, menjangkakan kerajaan mereka akan ditubuhkan sebelum atau selepas pilihan raya umum ke-15.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak pula berkata aktiviti bersama Umno dan PAS sudah meluas ke peringkat bahagian dan cawangan, dan kedua-dua parti dalam proses memeterai suatu piagam.

“PAS dan Umno merupakan pilihan utama umat Islam dan orang Melayu. Kalau dah ada ini, macam mana hendak sertai dengan orang lain?” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata berkata proses memuktamadkan piagam itu yang sepatutnya diputuskan malam ini terpaksa ditangguhkan bagi kedua-dua parti perlu tumpu kepada pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan di Dewan Rakyat hari ini.