Peguam dakwa AG Singapura campur tangan usaha tahanan hukuman mati mohon rayuan

Penasihat Lawyers for Liberty, N Surendran.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) membela penasihatnya, N Surendran yang mendakwa kerajaan Singapura campur tangan dalam tugasnya sebagai peguam yang mewakili rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati di negara itu.

LFL berkata maklum balas Jabatan Peguam Negara Singapura terhadap dakwaan peguam itu mengenai “keghairahan melaksanakan hukuman mati” di negara itu adalah “ancaman serius terhadap Surendran”, yang mewakili tahanan hukuman mati Malaysia termasuk Pannir Selvam Pranthaman, yang diberi penangguhan hukuman saat akhir pada Mei di mana rayuannya untuk memohon belas kasihan presiden akan didengar minggu ini.

“Singapura terkenal kerana mengenakan dakwaan hina mahkamah atau fitnah jenayah terhadap pengkritiknya,” kata pengarah LFL, Melissa Sasidaran.

“Ancaman terhadap Surendran adalah campur tangan yang menyalahi undang-undang oleh Singapura dengan hak tahanan yang menunggu hukuman mati untuk mendapatkan nasihat dan bantuan undang-undang,” katanya.

Melissa berkata tindak balas peguam negara itu juga merupakan pelanggaran perlembagaan Singapura sendiri yang menjamin setiap orang mendapat perbicaraan yang adil.

“Ini adalah percubaan dikira untuk mensabotaj pasukan undang-undang Pannir, serta menghalang bantuan undang-undang dari Malaysia untuk tahanan Malaysia yang lain.”

Minggu lalu, Surendran bercakap mengenai apa yang digelar “hukuman mati bersiri” selepas Singapura menolak petisyen pengurangan hukuman 10 banduan di penjara Changi, dengan 4 daripadanya rakyat Malaysia disabitkan kerana kesalahan dadah.

“Ia mengisyaratkan bahawa Singapura sedang ghairah mahu melaksanakan hukuman mati dengan mengetepikan norma undang-undang antarabangsa dan pandangan dunia yang lebih waras,” kata Surendran.

Singapura menolak dakwaan ia mensasarkan tahanan rakyat Malaysia, mengatakan ia ia menguatkuasaan undang-undang negara itu secara “saksama” ke atas pesalah tempatan dan juga asing.

“Semua pesalah, tanpa mengira kewarganegaraan, termasuk mereka yang dijatuhi hukuman mati diberikan proses wajar di bawah undang-undang,” kata Kementerian Dalam Negeri Singapura.