Pembangkang gesa SPR halang parti gagal tunai manifesto bertanding pilihan raya

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kuasa lebih termasuklah melarang mana-mana parti politik yang didapati melanggar janji manifesto daripada bertanding pada pilihan raya akan datang.

Annuar Musa (BN-Ketereh) membuat cadangan itu supaya rakyat tidak lagi ditipu khususnya orang muda yang menyokong parti politik yang membuat pelbagai janji tetapi tidak menunaikannya setelah menang pilihan raya, termasuk Pakatan Harapan (PH).

“Kita harus pertingkatkan akauntabiliti parti-parti yang bertanding kerana yang mengundi nanti mereka berusia muda, mereka mudah sekali dipengaruhi.

“Mereka cuba memancing anak-anak muda dengan janji-janji palsu kemudian tidak melaksanakan janji.

“Adakah YB setuju kita juga patut memperundang-undangkan bahawa manifesto yang didaftar dengan SPR semasa pilihan raya, kalau tidak ditunaikan, parti itu mesti bertanggungjawab dan tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya berikutnya,” katanya di Dewan Rakyat.

Annur berkata demikian ketika bangkit mencelah perbahasan Ismail Sabri (BN-Bera) berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Dalam perbahasannya, Ismail menyatakan persetujuan dengan cadangan Annuar sambil memaklumkan SPR perlu bertindak bebas dan bukannya mengikut telunjuk kerajaan yang memerintah.

“Selain daripada hak mengundi diturunkan, keadilan dan kebebasan sewaktu mengundi juga perlu ditekankan, SPR mesti memainkan peranan untuk memastikan pilihan raya bebas dan pengundi juga bebas dari tekanan pihak tertentu termasuk tekanan kerajaan.

“Sebagai contoh apa yang berlaku di beberapa PRK di Cameron Highland, walaupun melanggar kesalahan pilihan raya yang dilakukan pihak kerajaan, tapi tiada tindakan.

“Calon pakai baju ada lambang, pemberian duit minyak, penggunaan jentera kerajaan dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan pihaknya menyokong usaha kerajan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Kritik Bersih

Ismail juga menegur sikap Bersih yang didakwa berat sebelah apabila tidak bertindak seperti mana zaman Barisan Nasional iaitu menentang kerajaan di bawah PH.

“Bersih memang tak bersih, dulu mereka berarak dengan baju kuning menuduh kepada kita, apabila berlaku kepada kerajaan hari ini tidak ada perarakan baju kuning, tiada kenyataan mengutuk tindakan, kesalahan dilakukan kerajaan,” katanya.

Ismail turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan penekanan kepada subjek politik di sekolah supaya pelajar memahami proses demokrasi selaras dengan usaha menurunkan had umur mengundi.

“Saya cadang pendidikan politik dan demokrasi harus diberi penekanan di peringkat sekolah, dan ia telah pun dilaksanakan di negara-negara luar termasuk Indonesia,” katanya sambil memaklumkan akta membabitkan universiti dan kolej universiti perlu dihapuskan bagi memberi kebebasan kepada pelajar menegakkan demokrasi.

Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang untuk bacaan kali kedua di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat pembentangan kedua melibatkan RUU bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.

PAS minta henti main politik kotor

Sementara itu Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengingatkan semua pihak berhenti bermain politik kotor yang menyebabkan rakyat semakin tidak minat untuk keluar memgundi.

“Isu besar bukan soal 18 tahun sahaja tetapi yang besar ialah bagaimana untuk kita meningkatkan jumlah peratus keluar mengundi, kalau kita automatik daftar mengundi sekalipun, kalau peratus keluar mengundi tidak memcerminkan nilai sebenar, saya fikir kita gagal dalam mendidik.

“Saya lihat ada beberapa faktor yang kita perlu dilihat dalam kerangka besar, pertama ialah politik jangan dilihat benda yang menjijikkan, tidak stabil, berkelahi dan bermusuh,” katanya.

Sementara itu Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata pihaknya menyokong usaha kerajaan menurunkan had umur mengundi dan mencadangkan supaya kerajaan tidak lagi mengadakan hari penamaan calon.

“Hari penamaan calon banyak menimbulkan provokasi, saya rasa sudah tiba masanya kita tidak dedahkan anak muda kepada situasi begitu, tidak perlu penamaan calon, kos kurang, provokasi kurang,” katanya.

Bung turut menyuarakan kebimbangan pusat pengajian menjadi sarang politik dan meminta pihak kerajaan memantau dan berlaku adil.

Manakala, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menegur sikap menteri yang hilang dari Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan RUU menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

Katanya, tidak ada makna wakil rakyat yang membahaskan RUU yang begitu penting jika tiada menteri untuk mendengar termasuk Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“YB beri pandangan cukup bernas tapi nampaknya yang patut dengar semua tidak ada, perdana menteri tidak ada, timbalan perdana menteri tidak ada mungkin sibuk, menteri tidak ada, menteri jaga KBS tidak dengar apa pandangan YB,” katanya.