Peniaga dipenjara, didenda tunggang motosikal ‘ala Superman’

Tertuduh didakwa menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya DUKE pada 4 pagi, 22 Jun 2019.

KUALA LUMPUR: Seorang penjual pakaian dipenjara sebulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret (Trafik) hari ini atas tuduhan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya, Jun lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahimi menjatuhkan hukuman itu ke atas Azrineldi Junaidi, 22, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara 5 bulan sekiranya gagal membayar denda, selain lesen memandunya digantung selama 3 tahun berkuat kuasa hari ini. Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Azrineldi didakwa menunggang motosikal di atas jalan raya secara melulu dan merbahaya sambil melakukan aksi merapatkan dada ke tempat duduk serta meluruskan kedua-dua kaki ke belakang (ala Superman) yang merbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Duta Ulu Klang (DUKE) pada 4 pagi, 22 Jun 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum 5 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang 2 tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh mengambil kira perbuatan berkenaan merupakan kesalahan kedua yang sama dilakukan tertuduh.

Azrineldi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia baru sebulan bekerja sebagai penjual pakaian.