PM bentang RUU umur mengundi 18 tahun

Mahathir Mohamad berkata Malaysia terdorong memberi hak mengundi seawal usia 18 tahun bagi memberi peluang kepada mereka berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dibentang untuk bacaan kali kedua di Parlimen hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat pembentangan kedua itu hari ini melibatkan RUU bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun yang dibentangkan pada 4 Julai ditarik balik minggu lalu sebelum ia dibentangkan semula dengan mengambil kira cadangan pembangkang bagi pendaftaran automatik dan kelayakan calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Seramai, 58 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang akan membahaskan usul ini sebelum ia diluluskan dalam Parlimen.

RUU itu perlu mendapat sokongan pembangkang apabila ia memerlukan undian 2/3 untuk diluluskan, memandangkan jumlah wakil rakyat kerajaan tidak mencukupi.

“Selepas 1970-an, negara-negara maju seperti United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Jerman, Kanada, Perancis dan Australia menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

“Kemudian ia diikuti oleh India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada era 1980-an. Yang terakhir mengikuti jejak menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun ialah negara Jepun pada 2016.

“Pada ketika ini, hanya Malaysia dan Singapura di Asean serta beberapa negara lain seperti Kuwait, Oman, Cameroon, Lubnan, Samoa dan Tonga yang masih mengekalkan had umur mengundi 21 tahun.

“Hampir semua negara di Asia melaksanakan had umur mengundi 18 tahun. Dan yang terkini beberapa negara di Eropah pula mula menurunkan had umur mengundi yang lebih rendah daripada 18 tahun kepada 16 tahun seperti Austria dan Scotland.

“Berikutan perkembangan di seluruh dunia ini, maka golongan belia di Malaysia terdorong untuk turut diberi hak mengundi seawal usia 18 tahun. Langkah ini adalah bagi memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka untuk sama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya.

Dalam pembentangan, Mahathir berkata, kerajaan menjangkakan untuk 5 tahun akan datang, jika pendaftaran secara automatik ini dilaksanakan sekali dengan penurunan had umur mengundi 18 tahun, seramai 7.8 juta pengundi baru akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih tiap tahun sehingga 2023.

“Kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada 2023 akan meningkat lebih daripada 50% menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada PRU14 2018,” katanya.